utama

Air mata untuk Vasanthapiriya [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

LEBIH 500 ahli keluarga, saudara mara dan kenalan rapat kepada mendiang M Vasanthapiriya, 14, yang meninggal dunia selepas cuba membunuh dirinya minggu lalu hadir memberi penghormatan terakhir sebelum mayatnya disemadikan petang, hari ini.

Vasanthapiriya disahkan meninggal dunia semalam di Hospital Seberang Jaya (HSJ) Butterworth apabila keadaan kesihatannya mula merosot sejak dimasukkan ke wad pada 24 Januari lalu.

Suasana pilu menyelubungi kediaman ahli keluarga mendiang dengan tangisan dan air mata apabila tidak dapat menerima pemergian Vasanthapiriya apatah lagi pelajar tingkatan dua itu dikatakan pergi dalam keadaan kecewa selepas dituduh mencuri telefon bimbit milik gurunya.

Ibu bapa mendiang, R Muniandy, 54, dan A Malaveily, 51, juga tidak dapat menahan sebak apabila dilihat sentiasa berada dekat dengan mayat anak bongsu mereka.

Muniandy berkata, dia kesal sehingga kini guru yang dipertanggungjawabkan atas kematian anaknya masih tidak tampil berjumpa dengannya dan isteri bahkan menghilangkan diri.

“Saya cuba mencari dan menghubungi guru berkenaan tetapi dia mengelak daripada berjumpa dengan kami malahan turut menghilangkan diri hingga sekarang.

“Mengingati kembali apa yang diceritakan mendiang kepada seluruh ahli keluarga atas kejadian tuduhan itu membuatkan saya masih tidak dapat menerima apa yang berlaku terhadapnya” katanya.

Dalam kejadian 24 Januari lalu, pelajar itu, dipercayai cuba membunuh diri dengan menggantung diri menggunakan kain sari di biliknya akibat tertekan selepas dituduh mencuri telefon bimbit milik guru sekolahnya.

Kejadian itu disedari bapanya yang membawa remaja itu ke hospital tetapi mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ), 3.30 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad berkata, polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

'Kami mahu keadilan' [METROTV]

Disiarkan pada: February 2, 2018 @ 12:56pm
d