utama

Relationship status: It's complicated

Oleh Straits Times

WANITA Singapura dipenjara lima bulan atas tuduhan mengancam menyebarkan gambar lucah wanita Malaysia selepas menyamar sebagai lelaki di media sosial untuk menjalin hubungan dengan mangsa.

Durrah Faiqah Mohammad Mokhtar, 27, menjalin hubungan dalam talian dengan wanita berusia 29 tahun itu selama lebih setahun tanpa bertemu, dengan berpura-pura menjadi juruterbang lelaki susulan perkenalan di Instagram yang kemudian semakin intim melalui perbualan menerusi Whatsapp.

Ketika tempoh itu, mangsa berkongsi beberapa gambarnya dalam keadaan separuh bogel, tetapi Durrah Faiqah enggan menemuinya walaupun berkali-kali dipujuk.

Wanita itu akhirnya meminta memutuskan hubungan dan Durrah Faiqah mengancam menyebarkan gambar seksi yang dikongsikannya.

Mahkamah diberitahu, Durrah Faiqah mewujudkan akaun di Instagram serta Facebook pada April 2014 sebagai seorang lelaki.

Tidak lama selepas itu, dia berkenalan dengan mangsa sebelum wanita terbabit meminta memutuskan hubungan pada Julai 2015 kerana gagal memujuknya berjumpa.

Timbalan Pendakwa Raya Esther Tang berkata, mangsa enggan berbaik semula selepas tertuduh mengancam menyebarkan gambar separuh bogel miliknya.

“Bagaimanapun, tertuduh kemudian sekali lagi mengancam menyebarkan gambar berkenaan melainkan mangsa menyerahkan kata laluan akaun Facebook serta Instagram miliknya.

“Mangsa yang ketakutan akur permintaan itu tetapi pada Oktober tahun sama, dia sekali lagi menyatakan keinginan memutuskan hubungan.

“Apabila wanita itu tidak lagi membalas WhatsApp Durrah Faiqah, tertuduh menghantar gambar berkenaan kepada abang mangsa menerusi Facebook mangsa, malah mengancam menularkannya jika mangsa tidak mengendahkannya di WhatsApp,” katanya.

Durrah Faiqah kemudian mendaftar masuk ke akaun Facebook mangsa pada 25 April tahun lalu dan menghantar gambar seksinya kepada rakan mangsa, menyebabkan wanita itu menghubungi polis Singapura.

Menurut Esther, antara April hingga September 2016, Durrah Faiqah mewujudkan lapan akaun Instagram semata-mata untuk memuat naik semua gambar berkenaan dan sengaja memaklumkan mangsa bertujuan membuatkannya cemas.

Polis Singapura akhirnya berjaya menjejak dan menangkap Durrah Faiqah sebelum dia dijatuhkan hukuman, Khamis lalu.

Disiarkan pada: February 2, 2018 @ 10:18pm
d