utama

Mira Filzah tak abai lakonan

Oleh Norhayati Nordin

Walaupun semakin mendapat perhatian sebagai pengacara, Mira Filzah tetap mengutamakan kerjaya lakonannya.

Malah, selain membintangi drama, gadis jelita ini turut memsasarkan impian untuk beraksi dalam filem.

Katanya, dia mengharapkan tahun ini bakat lakonannya akan dikembangkan lebih jauh di layar perak.

Menurut Mira, setiap pelakon sepertinya sudah tentu memiliki impian untuk membintangi filem.

“Sebenarnya, saya ada mendapat tawaran berlakon filem cuma semuanya masih dalam perbincangan teliti.

“Bahkan, untuk membintangi filem saya juga harus persiapkan diri dengan mengikuti kelas lakonan.

“Masih banyak yang kurang dalam lakonan saya harus diperbaiki sebelum melangkah ke arena filem.

“Apapun, jika ada peluang saya memang sudah bersedia untuk mengetengahkan bakat sebagai pelakon filem,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Nur Amirah Badioezaman ini, dia mahu kerjaya lakonan dan pengacaraan diceburinya bergerak seiring.

“Terus terang, saya sangat meminati bidang lakonan dan pengacaraan. Bagi saya, kedua-dua bidang ini ada keistimewaan tersendiri.

“Ditambah lagi, sebagai penggiat seni adalah wajar untuk saya mempelbagaikan bakat untuk terus kekal bertahan.

“Apapun, saya berterima kasih kepada penonton yang menerima baik kemunculan saya sama ada sebagai pelakon mahupun pengacara,” katanya.

Bersyukur kemunculannya mendapat sambutan baik penonton Nona, Mira berkata, dia selesa bersikap terbuka.

Mengulas pula komen diterimanya, Mira berkata, setakat ini teguran yang pernah dia dapat daripada penonton hanya biasa-biasa saja.

“Tidak pernah ada lagi saya terima komen pedas dan menguris hati. Setakat ini, semuanya okey.

“Paling banyak yang ditegur penonton ialah cara penyampaian saya yang dikatakan bercakap terlalu laju,” katanya.

Nona yang sudah bersiaran selama 30 tahun sejak 25 Ogos 1985, kini disiarkan TV3 setiap Ahad, jam 2 petang.

Menurut Mira, melalui kebanyakan komen positif diterima, ia menaikkan lagi semangatnya untuk membuat persembahan terbaik.

“Terus terang, saya sentiasa berusaha ke arah menampilkan persembahan yang bagus buat penonton program Nona.

“Malah, saya juga sangat memberi perhatian pada cara penyampaian pengacaraan ditampilkan pada setiap masa.

“Bagaimanapun, jika ada yang terkurang, saya mohon beri masa untuk memperbaiki kelemahan itu dalam siaran episod Nona yang seterusnya,” katanya.

Bagi memantapkan cara pengacaraannya, Mira berkata, dia juga sering berbincang dengan produksi penerbitan Nona.

Terdahulu, bakat pengacaraan pelakon drama Cinta Si Wedding Planner ini dipersembahkan dalam program berkonsep majlis perkahwinan, Mahligai Cinta di TV3.

Tidak gentar dengan perbandingan, Mira mengakui ia perkara lumrah dan dia menerimanya dengan hati terbuka.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 2:11am
d