utama

Perang strategi ampuh

Oleh Reuters

London: Dua pemain prolifik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) akan bertembung apabila Liverpool menerima kunjungan Tottenham Hotspur yang bakal menampilkan aksi sengit bagi merebut kelompok empat teratas.

Hanya lima mata memisahkan Manchester United yang berada di kedudukan kedua dengan Spurs yang dibimbing Mauricio Pochettino di tangga kelima dan pertarungan sengit merebut tempat ke Liga Juara-Juara jarang sekali berlaku.

Kemenangan pasukan di tangga ketiga, Liverpool di Anfield bakal menjarakkan kedudukan mereka kepada lima mata berbanding Tottenham, kedudukan yang baik buat skuad Juergen Klopp yang hanya kalah sekali dalam 16 perlawanan liga.

Kedua-dua pengurus itu bakal merangka strategi terbaik buat pasukan masing-masing untuk memenangi perlawanan Ahad ini dengan percaturan mungkin lebih terarah kepada dua penyerang yang berada dalam prestasi terbaik sepanjang musim ini.

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah dan penggempur Tottenham, Harry Kane berada di kedudukan teratas senarai penjaring terbanyak setakat ini.

Kane, penyerang Spurs sudah menjaringkan 21 gol untuk mengetuai saingan merebut kasut emas daripada pemain antarabangsa Mesir, Salah.

Kane memang terkenal dengan penampilan di bahagian teratas carta penjaring namun impak Salah yang ditandatangani dari AS Roma pada penghujung musim menjadi kejutan, apatah lagi dia bukan beraksi di bahagian serangan sepenuhnya.

Kedua-dua pemain itu menjadi tumpuan ketika perlawanan di Wembley, Oktober lalu dengan kemenangan 4-1 diraih Spurs yang menjadi satu momentum buat Liverpool apabila mengharungi 14 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan, selepas itu.

Namun, rekod itu berakhir selepas mereka dikejutkan dengan kekalahan kepada pasukan yang sedang bergelut, Swansea City sebelum bangkit membelasah Huddersfield Town 3-0, Selasa lalu.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 3:31am
d