utama

5 askar maut, helikopter berlanggar

Oleh AFP

LIMA pegawai tentera terbunuh selepas dua helikopter berlanggar ketika mengadakan latihan berhampiran tasik di selatan Perancis, semalam.

Insiden itu adalah antara nahas terburuk membabitkan pasukan keselamatan negara itu dalam tempoh beberapa tahun.

Nahas berkenaan berlaku di Tasik Carces, kira-kira 50 kilometer di barat laut Saint-Tropez, iaitu beberapa minit selepas kedua-dua pesawat terbabit berlepas pada 8.30 pagi waktu tempatan.

Pendakwa Marseille, Xavier Tarabeaux berkata, semua lima pegawai yang menaiki dua helikopter itu maut di lokasi kejadian.

Katanya, punca nahas masih dalam siasatan tetapi kedua-dua pesawat terbabit tidak dilengkapi dengan kotak hitam yang boleh menjelaskan punca sebenar kejadian.

Tarabeaux berkata, tiga daripada mangsa adalah jurulatih berpengalaman dan penyiasat tidak menolak kemungkinan nahas itu berpunca akibat perlanggaran dengan pencawang elektrik.

Sementara itu, seorang pengarah di sekolah latihan penerbangan pesawat ringan EALAT berkata, dua daripada tiga jurulatih itu masing-masing memiliki 3,000 dan 5,000 jam waktu penerbangan.

“Saya tidak fikir nahas itu berpunca daripada kesilapan juruterbang. Mungkin kerana masalah mekanikal atau perhatian mereka sedikit terganggu” katanya.

Bangkai dua pesawat berkenaan ditemui dalam jarak 600 meter antara satu sama lain, masing-masing terhempas di atas jalan raya dan di dalam hutan.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 10:57am
d