utama

Penyembur beruang halau bomba, polis

Oleh Nor Azizah Mokhtar

LAPAN anggota polis dan empat anggota bomba terkena semburan lada hitam angkara seorang penghuni kondominium di Mont Kiara, Jalan Dutamas, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian 4.56 petang itu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas pada mulanya ke lokasi untuk khidmat khas membantu polis memecah pintu sebuah unit kediaman di situ.

Ini kerana penghuninya enggan memberi kerjasama dengan pihak polis yang menerima laporan daripada pemilik rumah terbabit yang mendakwa penyewanya iaitu seorang wanita warga Amerika Syarikat bertindak agresif menyembur mereka dengan penyembur lada hitam.

Difahamkan, pemilik rumah yang juga suami isteri ke lokasi berkenaan pada 2.30 petang untuk menukar mangga kunci selepas penghuni diarah mengosongkan kediaman dan sepatutnya keluar dari situ, kelmarin.

Bagaimanapun, ketika cuma membuka pintu, ia disekat dari dalam sebelum wanita itu membuka pintu dan menyembur mereka dengan bahan yang menyebabkan mereka berasa pedih mata dan kulit.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, terkejut dengan tindakan agresif suspek, pemilik rumah akhirnya terpaksa meminta bantuan polis serta bomba.

“Anggota polis yang tiba kemudian mengetuk pintu rumah terbabit namun mereka turut disembur dengan penyembur berkenaan dan ketika kejadian lima anggota bomba turut berada di situ.

“Empat anggota bomba turut terkena semburan bahan terbabit ketika cuba membantu polis membuka pintu dan mereka semua dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan dan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, sepasukan anggota polis kemudian berjaya memujuk suspek yang akhirnya menyerah diri. “Suspek berusia 42 tahun itu mengaku menyembur pemedih mata ke arah anggota polis dan bomba.

“Dia akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya lagi turut memberitahu perkara itu akan dimaklumkan kepada pihak kedutaan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman memaklumkan empat anggotanya mengalami pedih mata selepas terkena semburan berkenaan yang sepatutnya digunakan untuk menghalau beruang.

“Mereka cuba membersihkan mata dengan membasuhnya dengan air, bagaimanapun mereka akhirnya dikejarkan ke HKL untuk rawatan.

“Semua dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar dan kita menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 12:52pm
d