utama

Ada harapan...

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Jurulatih kebangsaan, Chew Chun Yong menganggap peluang anak buahnya masih terbuka untuk ke suku akhir meskipun kebangkitan mereka pada saat akhir tidak menjadi apabila tewas 4-5 kepada tuan rumah, Taiwan pada perlawanan kedua Kumpulan A, Kejuaraan Futsal AFC, semalam.

Malaysia yang kini mengumpul tiga mata selepas menundukkan Vietnam 2-1 pada perlawanan pertama kelmarin akan membuat perhitungan terakhir dengan Bahrain Isnin ini untuk mengintai peluang melakar sejarah layak ke pusingan kalah mati buat kali pertama.

“Kami hanya kalah tipis, saya akui pemain tak bermain seperti yang diharapkan. Taiwan lebih berdisiplin ketika bertahan dan tiga gol yang mereka hasilkan adalah menerusi serangan pantas.

“Ini kelemahan yang perlu kami diperbaiki sebelum bertemu Bahrain dan dengan keputusan ini saingan dalam kumpulan ini masih terbuka,” katanya.

Aksi buruk dipamerkan pemain negara pada babak pertama apabila mereka ketinggalan dua gol menerusi jaringan Lai Ming-Hui dan Lin Chih-Hung.

Sememangnya tuan rumah yang seri 2-2 dengan Bahrain pada aksi pertama berhak untuk mendahului permainan selepas lebih banyak mengasak kubu Malaysia dengan corak serangan pantas.

Gawang negara dibolosi pada minit ke-8 selepas bola rembatan Lin Chen-Hsun yang terkena tiang pantas disambar Ming-Hui untuk menewaskan penjaga gol, Azrul Hadee Taufiq sebelum Chih-Hung menambah gol kedua di minit ke-13.

Belumpun sempat anak buah Chun Yong mengatur rentak pada separuh masa kedua, mereka dikejutkan dengan jaringan Chi Sheng-Fa, seminit selepas permainan bermula untuk Taiwan selesa mendahului 3-0.

Harapan kembali menjelma apabila Azwan Ismail menghasilkan gol pertama pada minit ke-27 meskipun Taiwan kembali menjarakkan kedudukan menerusi Ming-Hui, empat minit kemudian.

Malaysia yang terdesak memburu gol mengeluarkan Hadee untuk bermain sistem ‘powerplay’ dan berjaya meledak tiga gol hasil percubaan Awalluddin Mat Nawi minit ke-33 dan 36 serta Khairul Effendy Bahrin minit ke-38 bagi mengikat kedudukan 4-4.

Namun kebangkitan itu tidak bermakna apabila rembatan padu Chih-Hung memberikan gol kemenangan buat skuad kendalian Jose Amarante itu sekali gus membuka kembali peluang ke suku akhir.

Disiarkan pada: February 4, 2018 @ 4:29am
d