utama

Suami dayus!

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

WANITA mati dipercayai dibelasah suaminya dalam kejadian di Kampung Sandakan, Batu 10, Sandakan, semalam.

Dalam kejadian 8 malam itu, wanita warga Indonesia berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent selepas parah akibat pelbagai kecederaan dipercayai ditendang dan dihempas ke lantai.

Difahamkan, mangsa berusia 38 tahun ditinggalkan suami dan anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke hospital oleh jirannya.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh pihak hospital.

Berikutan itu, katanya, sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian iaitu di rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

"Siasatan mendapati, ketika kejadian suspek iaitu lelaki warga Indonesia berumur 40 tahun, bertengkar dengan anak sulungnya.

"Mangsa cuba meleraikan pergaduhan antara suami dan anaknya, namun suspek dilaporkan naik angin lalu menendang, menolak serta menghempas mangsa ke lantai rumah.

"Mangsa kemudian dilaporkan tidak sedarkan diri. Sejurus itu, suami dan anak-anaknya melarikan diri dan mangsa dibawa ke hospital oleh jirannya sebelum disahkan meninggal dunia pada 9.20 malam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azhar berkata, suspek berjaya ditahan 6.30 pagi tadi di rumah dalam ladang kelapa sawit di Batu 12 dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Disiarkan pada: February 4, 2018 @ 8:15pm
d