utama

Tebusan 4 hari

Oleh Syazwan Msar dan Nur Sufiah Abd Halim

Kuala Lumpur: Pengalaman menjadi tebusan kepada peristiwa hitam dalam memerangi anggota Al-Ma’unah antara kejadian yang tidak dapat dilupakan bekas Sarjan Detektif Mohd Shah Ahmad, 65, sepanjang berkecimpung sebagai anggota polis.

Malah bunyi tembakan yang hanya dilepaskan beberapa inci dari kepala hingga meragut nyawa rakannya, Detektif Sarjan R Sagadevan antara situasi yang tidak dapat dilupakan sehingga kini kerana perkara itu memisahkannya antara hidup dan mati.

Menceritakan pengalaman terbabit, Mohd Shah yang mula berkecimpung sebagai anggota polis pada 1970 di Cawangan Khas (SB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka diarahkan ke kawasan Bukit Jenalek, Sauk, Perak pada Julai 2000 untuk melakukan risikan dan pemantauan.

“Arahan itu diterima selepas berlakunya pencerobohan 15 lelaki menyamar anggota tentera berpangkat kapten dan leftenan kolonel sebelum melarikan sejumlah alat komunikasi dan senjata api dari pos kawalan dan kem tentera di Grik.

“Ketika melakukan risikan, saya bersama Sagadevan ditahan anggota kumpulan terbabit dan berlaku peristiwa yang tidak dapat dilupakan apabila mendiang ditembak di sebelah saya menyebabkan darahnya terpercik dan kepalanya hancur,” katanya.

Mohd Shah antara 13 penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) yang diberikan kepada 13 pesara PDRM di atas sumbangan dan pengorbanan mereka semasa berkhidmat, baru-baru ini.

Beliau berkata, dia terpaksa menggunakan taktik berbuat baik kepada semua anggota kumpulan berkenaan selain turut menceritakan perkara sedih supaya semangat mereka pudar, sekali gus matlamat asal dilupakan.

“Selama empat hari menjadi tebusan, setiap hari anggotanya akan berbisik bahawa riwayat hidup saya akan ditamatkan pada bila-bila masa saja dan lakukan persiapan termasuk membersihkan diri serta melakukan solat taubat.

“Saya juga diminta menggali kubur sendiri dan menyediakan beberapa peralatan lain bagi memudahkan urusan pengebumian nanti,” katanya.

Namun, ketika fikirannya sudah memikirkan ajal bakal tiba, akhirnya beliau diselamatkan oleh pasukan keselamatan sebelum dibawa keluar dari lokasi terbabit bersama anggota Al-Ma’unah lain.

“Jika diikutkan, hari yang saya diselamatkan itu sepatutnya saya ditembak seperti rakan lain kerana dianggap sebagai musuh oleh mereka.

“Saya bersyukur kepada Tuhan umur saya masih panjang dan walaupun peristiwa itu sudah 17 tahun berlalu namun ia masih lagi segar dalam ingatan malah terbawa-bawa dalam mimpi,” katanya yang mempunyai empat anak dan lima cucu hasil perkahwinan bersama pasangannya, Rohaya Salleh, 59.

Menurutnya, peristiwa berkenaan memberi banyak pengajaran dan harus dijadikan sebagai contoh kepada generasi muda untuk tidak terlampau taasub hingga sanggup melakukan perkara di luar dugaan.

“Anggota keselamatan juga diingatkan supaya bertindak mengikut garis panduan yang ditetapkan dan harus memikirkan kepentingan diri dan orang awam supaya tiada yang terkorban,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 7:40am
d