utama

Majikan paling pemurah

Oleh Agensi

Nanchang, China: Sebuah syarikat pembuatan besi di timur China memberikan bonus berjumlah 160 juta yuan (RM99.19 juta) kepada pekerjanya yang diberi terus secara tunai.

Media tempatan melaporkan, syarikat Fangda Special Steel Technology yang berpangkalan di sini menyerahkan bonus itu kepada pekerjanya pada Khamis lalu.

Seramai 5,000 pekerja syarikat itu menerima bonus 32,000 yuan (RM19,840).

Sebelum ini, sebuah lagi anak syarikat itu turut menjadi tular di Internet selepas memberi bonus kepada pekerjanya secara tunai.

Bagaimanapun, pekerja di bahagian pengurusan dikecualikan daripada menerima bonus itu.

Bonus itu diberikan selepas pengeluaran dan keuntungan syarikat itu mencecah tahap tertinggi pada tahun lalu.

Syarikat itu memberikan bonus kepada pekerjanya berjumlah 600 juta yuan (RM372 juta) sejak 2011.

Firma itu turut memberikan wang tunai berjumlah 3,000 yuan (RM1,859) kepada pekerja yang bersara dan berusia lebih 60 tahun.

Harga besi melambung tinggi pada tahun lalu menyebabkan syarikat besi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Usaha kerajaan untuk mengurangkan kapasiti pengeluaran ketika permintaan tinggi terhadap besi menyebabkan harga meningkat.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 5:32am
d