utama

Ketagih berbakti

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kesibukan tugas hakiki sebagai pekerja di sektor swasta tidak menghalang Akidi Hamid, 48, daripada bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawanan.

Menurutnya, dia mula jatuh cinta dengan bidang berkenaan sejak menyertai misi bantuan banjir di Kelantan pada 2014 selepas menyedari ramai rakyat Malaysia memerlukan pertolongan untuk mendapatkan saluran bantuan.

“Pada mulanya saya hanya membantu rombongan bersama rakan-rakan menghulurkan bantuan keperluan harian seperti pakaian, barang dapur dan dapur gas di Pasir Mas serta Machang.

“Tetapi apabila pergi melihat sendiri keadaan di sana, bukan saja mangsa banjir saya jumpa, malah pelbagai golongan termasuk orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik serta asnaf yang memerlukan bantuan.

“Kebanyakan mereka masih meneruskan kehidupan dalam serba kekurangan serta mendakwa sukar mendapat bantuan daripada pihak berkaitan,” katanya.

Menurutnya, memahami kesulitan dialami golongan itu, Akidi mula bergerak dalam kumpulan kecil bersama kenalan sebelum menubuhkan Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) pada 2015.

“Fokus KELSS adalah membantu golongan OKU, pesakit kronik terlantar, asnaf dan anak yatim serta dana perubatan dalam serta luar negara terutama rawatan pesakit biliary atresia.

“Peranan kami sebagai pemudah cara golongan memerlukan ini mendapatkan bantuan dengan pihak berwajib mahupun orang ramai.

“Kini KELSS mempunyai 200 ahli dari seluruh negara yang datang dari pelbagai profesion dan kami melakukan aktiviti ini ketika cuti terutama pada hujung minggu,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini KELSS berjaya menguruskan hampir 200 kes di seluruh negara dalam pelbagai kategori kes.

“Kebanyakan kes kami akan bantu mereka mendapatkan dana dengan melancarkan tabung khas kutipan menerusi laman KELSS di Facebook.

“Bagi sesetengah kes, kita benarkan dana itu disalurkan terus ke akaun ibu bapa atau pewaris dengan disertakan surat akur janji bagi mengelakkan salah guna dana orang ramai untuk tujuan kepentingan sendiri.

“Selain itu, kami juga bergiat aktif dalam kerja gotong-royong membersihkan rumah warga emas mahu pun ibu tunggal memerlukan,” katanya.

Akidi berkata, pihaknya turut melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan bantuan diperlukan sampai kepada golongan memerlukan.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 6:54am
d