utama

Api misteri bakar bilik

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Permaisuri: “Saya pelik bagaimana bilik ini boleh terbakar tiba-tiba sedangkan tiada pendawaian elektrik di dalamnya,” kata Zariani Tibrani, 34, menceritakan bagaimana sebuah bilik terbakar secara misteri sebelum api merebak.

Zariani berkata, ketika kejadian jam 11 pagi kelmarin, dia tidur di bilik utama sebelum terjaga akibat terhidu bau asap sebelum melihat api marak dalam bilik berkenaan.

Menurutnya, dia berseorangan di rumah ketika itu kerana suami, Mohd Yusoff Mohammad, 42, yang juga tukang kebun di Pejabat Agama Daerah Setiu sedang bekerja manakala anak, Nur Balqis Syahirah Abdullah, 4, berada di TADIKA.

Katanya, terdahulu, dia berbual dengan jiran sebelum masuk berehat kerana kurang sihat pada jam 10 pagi.

“Saya tertidur dan tiba-tiba terasa sesak nafas. Saya terjaga dan mendapati bilik sebelah terbakar.

“Saya terus meminta bantuan jiran untuk memadamkan kebakaran,” katanya ditemui di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Buluh Hilir di sini, semalam.

Zariani yang mengusahakan kedai makan berkata, kebakaran merebak ke bumbung dan lantai rumah namun dapat dipadamkan dalam tempoh beberapa minit dengan bantuan jiran.

“Kerugian dianggarkan RM15,000, ia termasuk pakaian serta wang RM500 hasil perniagaan.

“Bilik ini memang tidak ada sebarang pendawaian elektrik dan hanya digunakan untuk solat dan menyimpan pakaian,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, ia kejadian kedua berlaku di bilik sama tanpa diketahui puncanya.

“Kali pertama berlaku lima tahun lalu dan ketika itu, kami tiada di rumah.

“Ketika kejadian pertama, seminggu sebelum kejadian, berlaku peristiwa pelik seperti bunyi pinggan mangkuk berlaga waktu malam, ada juga pinggan yang pecah, tetapi kali ini tiada sebarang petanda,” katanya.

Dia berkata, mereka sekeluarga tinggal di situ 10 tahun lalu.

“Al-Quran yang saya gunakan setiap hari turut berada dalam bilik itu namun hanya terbakar pada bahagian depan namun kandungannya masih elok.

“Beberapa pakaian termasuk seragam RELA turut rosak dalam kebakaran,” katanya.

Mohd Yusoff turut berharap ada pihak yang sudi membantu meringankan bebannya membaiki rumah dan bilik yang terbabit dalam kebakaran itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu Mohamad Jusoh berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 6:55am
d