utama

Ada Dalam Tiada isi hati Nora

Oleh Ardini Sophia Sina

Duka kehilangan insan tersayang terlalu pahit untuk ditelan. Hampir setahun pemergian arwah suami, adakalanya penyanyi Nora Ariffin masih tewas mengawal emosi.

Dia pernah terfikir untuk membawa diri, cuba mencari ketenangan. Namun menyedari masih ada empat buah hati yang perlu diberi perhatian, Nora terus cekal meniti kehidupan seharian.

Tampil dengan lagu berjudul Ada Dalam Tiada, karya yang mendapat sentuhan Sirkhan dan lirik oleh Habsah Hassan itu ditujukan khas buat suaminya, Johan Nawawi.

Menghayati bait lagu berkenaan, ia menggambarkan isi hati wanita yang pernah popular dengan lagu Hanya Satu itu.

Katanya, sehingga kini dia masih merasai seolah-olah suaminya masih ada tetapi pada masa sama tidak ada depan mata.

“Lagu ini cukup bermakna buat saya. Ia menceritakan perasaan saya sejak pemergian Johan. Saya sebenarnya tidak terfikir pun untuk ada lagu baru. Bagaimanapun, saya puas hati dan gembira terima cadangan Habsah Hassan untuk hasilkan single baharu.

“Sebenarnya, saya berjumpa dia untuk minta bantuan menyiapkan album Tribute 30 Tahun Johan Nawawi. Dia cadangkan agar saya selitkan lagu baru dalam album itu.

“Kemudian, saya jumpa Sirkhan untuk gubah lagu. Saya juga minta bantuan Habsah untuk tulis lirik. Sebaik saja saya membaca bait lirik, air mata jatuh berderai. Ia cukup menggambarkan apa yang saya rasa,” katanya.

Sepanjang proses rakaman, Nora sedaya upaya bersikap ceria kerana enggan dibuai emosi. Bagaimanapun, tidak dinafikan perasaan sedih itu terus menikam lubuk hatinya sebaik saja selesai rakaman.

Cuba menahan tangis, kata Nora, perbezaan itu sangat terasa. Sepanjang bergelar penyanyi, dia sudah terbiasa melihat Johan di luar bilik rakaman untuk memberikannya semangat.

“Selesai rakaman Ada Dalam Tiada, saya rasa lain sebab selalunya Johan akan tunggu di luar bilik rakaman. Siap rakaman, dia akan datang dan peluk serta memberikan kata-kata semangat.

“Tetapi, kali ini saya tidak tahu mahu kongsikan kegembiraan dengan siapa. Memang saya sangat terasa dengan keadaan itu. Namun, itu adalah kenyataan yang perlu saya hadapi,” katanya.

Bercakap mengenai lagu itu, Nora sendiri tidak pasti sejauh mana penerimaan pendengar. Ia terlalu subjektif untuk diperkatakan.

“Kadang-kadang, kita dengar lagu itu sedap didengar tetapi orang tidak suka. Ada juga yang kita rasa kurang bagus tetapi pendengar menyukainya pula. Sekarang, saya berserah saja,” katanya.

Masih tidur dengan jubah Johan, perasaan rindu itu tidak mungkin terpadam begitu saja. Dia kini belajar untuk menjadi ibu dan ayah kepada anak.

Ikutkan hati, Nora tidak mahu bekerja tetapi kini dialah tulang belakang yang perlu menyara keluarga. Kesibukan yang dirasai itu sedikit sebanyak melenyapkan seketika kesedihan yang dirasai.

“Ikutkan hati, saya tidak mahu bekerja. Kalau tidak ada iman memang boleh jadi gila tapi untuk apa terus seksa diri sendiri? Saya masih ada anak yang perlu disara, jaga dan besarkan.

“Mereka perlukan perhatian dan kasih sayang saya. Setiap kali lemah, saya akan lihat mereka dan dapat kekuatan,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 7:24am
d