utama

Dari pasar terus ke rumah [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Perasaan kasihan dan mahu membantu selepas melihat seorang wanita warga emas yang sakit dan tidak mampu ke pasar mendorong Azahari Ahmad, 40, memulakan perniagaan menghantar barangan termasuk ikan serta sayur dari Pasar Borong Selayang terus ke rumah pelanggan.

Terbukti apa yang dilakukan berbaloi apabila dia kini mempunyai pencapaian tersendiri, malah dikenali sebagai ‘pasar man’ dalam kalangan warga Pasar Borong Selayang dan pelanggan.

Uniknya, dia turut menggunakan motosikal Honda C50 milik bapanya yang diubah suai dengan karakter ‘pasar man’ dan dia terus mengorak langkah menjadi penghantar cepat barangan dari pasar berkenaan menerusi syarikat Sendayan Biru.

Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia memilih menjadi ‘pasar man’ selepas ber henti kerja pada 2008.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai koordinator di syarikat barangan bayi. Saya berhenti dan mula menjadi ‘pasar man’, ” katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Menurut Azahari, caj penghantaran dikenakan antara RM3 hingga RM5.

Katanya, dia menerima lebih 20 tempahan penghantaran setiap hari.

“Ada yang minta hantar ke rumah dan ke restoran. Jika penghantaran ke restoran saya akan menggunakan pacuan empat roda kerana muatannya banyak, kadangkala mencecah 100 kilogram,” katanya.

Menurutnya, dia mahu memberi perkhidmatan terbaik bagi membolehkan pelanggannya mendapatkan barangan dari pasar yang segar.

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 8:11am
d