utama

Saya terima hati terbuka...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Iqram Dinzly berbesar hati sekiranya mendapat tawaran daripada mana-mana pihak untuk mewujudkan saluran sendiri atau program di laman YouTube.

Iqram, 36, berkata, dia sudah lama menunggu peluang itu bagi tujuan untuk berkongsi ilmu seni dimiliki.

"Kalau betul ada tawaran, saya terima dengan hati terbuka. Saya ingin bermula dari bawah dan tunjuk kepada orang usaha yang dilakukan selama ini.

"Jika perkara ini direalisasikan, saya percaya ada sebab kenapa mereka menginginkan saya. Bukan kerana apa yang tular, tetapi lebih kepada perkongsian ilmu," katanya kepada Harian Metro.

Iqram juga akui tidak tahu menahu segala video dan perkongsian yang dimuat naik di laman Instagram (IG) miliknya menjadi perhatian masyarakat.

"Apa yang dikongsikan di IG sekadar satu bentuk hiburan kepada semua. Dalam masa sama, ia juga perkongsian dakwah.

"Namun, apabila setiap video yang dimuat naik tular ia di luar bidang kuasa saya. Malah, sejujurnya saya tidak pernah ambil tahu pun mengenai perkara ini," katanya.

Dalam masa sama, Iqram juga menjelaskan pertemuannya dengan penerbit, David Teo semalam bukan berkenaan kerjaya lakonan.

"Saya berjumpa David atas perbincangan lain. Bagi saya, hanya dia faham apa yang saya cuba sampaikan selama ini. Ia masih membabitkan projek seni tapi skop berbeza.

"Macam yang pernah dikatakan, saya tidak mahu berlakon lagi. Malah tidak mahu menggunakan nama Iqram Dinzly. Disebabkan itu, saya wujudkan nama baru dan ingin dikenali sebagai DR Princhiqy Dinzly.

"Menerusi nama ini, saya ingin jadi pelagak seni yang kreatif dan inovatif. Kalau boleh, saya nak jadi legenda alam maya," katanya.

Berita berkaitan:

Iqram pilih nama Ahmad, Che Jah

Iqram terasa hati dengan Fathia

'Maafkan saya'

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 3:17pm
d