utama

Nak curi ke nak tidur?

Oleh Ahmad Ismail

AKIBAT lalok kesan dadah, seorang lelaki terlena dalam kereta yang cuba dilarikannya, dalam kejadian di tempat letak kereta di Jalan Kek Wa, Segamat, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, suspek lelaki tempatan berusia 25 tahun pada mulanya memecah masuk ke dalam Proton Saga itu dan menghidupkan enjin serta penghawa dingin sebelum tertidur.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superitenden Raub Selamat berkata, kejadian itu disedari pemilik kereta terbabit yang berusia 29 tahun sebelum bertindak menghubungi polis.

"Suspek tertidur di tempat duduk pemandu dan berdengkur kuat. Suspek terkejut apabila pemilik kereta menghampiri dan pada mulanya cuba membuka pintu kereta untuk melarikan diri tetapi akibat panik, pintu kereta itu tersekat dan suspek terkunci dalam kereta.

"Pihak polis tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian, berjaya menahan suspek. Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif Methaphetamine," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Raub berkata, hasil siasatan lanjut, polis menahan tiga lelaki warga Indonesia berusia 23 hingga 30 tahun yang sedang menunggu suspek pertama dalam sebuah kereta berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, suspek pertama ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379A/511 kerana cubaan mencuri kenderaan, manakala tiga suspek warga Indonesia diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 3:27pm
d