utama

Jangan main ambil saja

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, Hafiz Suip, 28, yang bergelar bapa sejak lebih sebulan lalu berkongsi pendapatnya mengenai makanan tambahan untuk bayi yang menjadi topik perbualan hangat, sejak akhir-akhir ini.

“Saya tahu, banyak produk makanan tambahan dikeluarkan untuk orang dewasa dan bayi. Namun, untuk bayi, rasanya ibu bapa perlu meneliti dengan lebih mendalam,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut bapa kepada bayi lelaki bernama Muhammad Riyadh Zafri itu, selain bayi, ibu juga perlu memastikan makanan tambahan yang diambil, bersesuaian.

“Apa yang saya kongsikan ini adalah berdasarkan pengalaman saya dan isteri. Sebelum ini, isteri saya pernah mengambil makanan tambahan untuk meningkatkan pengeluaran susu.

“Namun, mungkin kerana ada kandungan yang tak sesuai dengannya dan bayi, anak saya yang masih menyusu terpaksa berdepan beberapa masalah.

“Di bahagian mulut anak saya, timbul bintik-bintik merah seperti ruam. Jadi, sebagai pengajaran kepada semua, berhati-hati dan jangan main ambil sahaja tanpa nasihat doktor,” katanya.

Sehingga kini, Hafiz dan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah belum berkongsi gambar bayi mereka, namun, sudah membuka akaun Instagram khas.

“Kami akan menunggu sehingga isteri saya selesai menjalani tempoh berpantang selama 45 hari. Selepas itu barulah saya akan kongsikan.

“Akaun Instagram anak juga sudah dibuka tak sampai sebulan. Alhamdulillah, banyak reaksi positif diterima dan ada tawaran daripada beberapa pihak.

“Alhamdulillah, itu adalah rezeki anak. Walaupun belum ramai pengikut di Instagram itu namun nampaknya banyak rezeki yang kami sekeluarga terima,” katanya.

Riyadh adalah cahaya mata pertama Hafiz dan Nureffy yang dilahirkan pada 31 Disember tahun lalu.

Disiarkan pada: February 8, 2018 @ 1:34pm
d