utama

2 anak sawan tarik

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

Kangar: “Kami sekeluarga reda, walaupun along dan adik sakit, mereka tetap anak kami, anak syurga kami,” kata Norfazilah Abdullah, ibu kepada dua anak yang menghidap cerebral palsy dan sawan tarik.

Ibu berusia 31 tahun itu mengakui dia dan suami, Rosmizan Ab Rahim, 36, bimbang mengenangkan nasib kedua-dua anaknya, Muhammad Danish Haikal, 10, yang dipanggil along dan Muhammad Daniel Hakim, 3, yang disapa dengan panggilan adik andai mereka berdua ditakdirkan pergi dulu.

“Nak tambah anak pun kami sudah fikir secara mendalam, takut along dan adik terabai, ini kan pula jika kami tiada, siapalah yang akan menjaga mereka berdua.

“Kami reda dengan keadaan mereka berdua dan sentiasa mendoakan supaya mereka sihat seperti orang lain. Kami bahagia membesarkan anak-anak syurga ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kediaman ibunya di Kampung Tengah, dekat Kuala Perlis.

Norfazilah berkata, kedua-dua anaknya dikesan menghidap cerebral palsy pada usia empat dan lima bulan di mana sebelum itu mereka normal dalam kandungan dan ketika dilahirkan.

“Mereka akan mengalami sawan tarik belasan kali sehari dan ada masanya sehingga 25 kali sehari. Tempoh tarik itu tidak lama dalam dua hingga tiga minit tetapi selang 15 minit kemudian jadi semula,” katanya.

Menurutnya, lebih meruntun jiwa apabila ada ketika kedua-dua beradik berkenaan menangis tidak henti sehingga pernah selama 12 jam.

“Mereka tidak tarik, mungkin mereka sakit dari bahagian dalam yang kita tidak tahu. Malah waktu tidur mereka juga tidak menentu, ada masanya malam berjaga, jadi saya dan suami perlu memantau mereka setiap masa bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Selain itu, Rosmizan dan Norfazilah juga berpotensi mendapat anak yang mempunyai penyakit sama sekiranya mereka merancang menambah zuriat.

“Setakat ini pakar hanya mengatakan cerebral palsy tetapi juga berkemungkinan ada simptom lain berikutan dua anak kami mengalami masalah yang sama kerana mengikut kes, hanya seorang dalam keluarga mengalami penyakit seperti ini.

“Sampel darah kami sekeluarga dikaji di Belanda untuk mengesan penyakit sebenar anak kami. Jika mendapat maklum balas positif, saya boleh merancang anak ketiga dan bebas daripada penyakit berkenaan,” katanya.

Keadaan kesihatan kedua-dua anaknya menuntut Norfazilah berhenti kerja dan segala keperluan mereka sekeluarga kini ditanggung suaminya yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan secara harian.

“Gaji tidak menentu, sebulan sekurang-kurangnya enam kali ke hospital, bukan satu hospital tetapi tiga hospital iaitu Hopsital Tuanku Fauziah, Kangar, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan Hospital Pulau Pinang.

“Setakat ini kami mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM600 sebulan. Malah baru-baru ini kami turut menerima bantuan daripada Muslim Care Malaysia,” katanya.

Beliau juga mengakui memerlukan bantuan bagi menyiapkan rumahnya yang terletak bersebelahan rumah ibu bapanya demi keselesaan anaknya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke Muslim Care Malaysia menerusi akaun Bank Islam 1401401014 7470, Bank Muamalat 14010007654717 dan Maybank 564490413882.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 5:35am
d