utama

Cucuk, pukul babi selamatkan jiran

Oleh Amran Yahya

WARGA emas cedera di kepala, kaki dan tangan selepas diserang babi hutan dewasa di halaman rumahnya di Kampung Padang Lebar, Kuala Pilah, kelmarin.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, Marzuki Mohd Yassin, 72, dikatakan keluar ke belakang rumah untuk memeriksa kawasan itu selepas terdengar bunyi bising.

Ibu mangsa, Iyah Bada, 89, berkata, anaknya terserempak babi hutan dewasa yang sedang menggali ubi kayu ditanamnya sebelum haiwan itu menjadi agresif secara tiba-tiba lalu mengejarnya.

“Anak saya cuba melarikan diri namun terjatuh di halaman rumah. Dia kemudian bergelut dengan babi itu untuk mempertahankan diri, namun digigit di kepala, muka, kaki dan kedua-dua tangan.

“Saya menjerit meminta tolong sebelum jiran, Mohd Firdaus Marzuki, 29, datang membantu. Dia memukul babi itu dan mencucuk matanya beberapa kali sebelum haiwan itu melarikan diri,” katanya di Kuala Pilah, hari ini.

Katanya, selepas diselamatkan, Mohd Firdaus membawa Marzuki ke dalam rumah sebelum menghubungi polis, ambulans dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk mendapatkan bantuan.

Dia berkata, Marzuki dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) tidak lama kemudian untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, dia difahamkan babi itu yang mengalami kecederaan pada kepala dan badan ditemui mati tidak jauh dari rumahnya, pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, sejurus menerima maklumat orang awam, sepasukan anggota bergegas ke lokasi sebelum mendapati mangsa sudah diselamatkan.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 2:47pm
d