utama

'Penghormatan terbesar saya'

Oleh Fadhli Ishak

SEBAGAI negara yang tidak pernah menyaksikan salji, ia satu saat membanggakan melihat Jalur Gemilang dibawa berarak ketika majlis pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang di Korea Selatan, malam ini.

Peluncur ais negara Julian Yee diberi tanggungjawab sebagai pembawa bendera buat Malaysia di Stadium Olimpik Pyeongchang. Turut hadir dalam perbarisan itu Ketua Kontinjen, Datuk Dr Mumtaz Jaafar, peluncur alpine ski Jeffrey Webb dan pengurus pasukan Irene Cheow.

“Ini satu penghormatan besar buat saya, terutamanya kerana negara kita tidak mempunyai musim sejuk,” kata Julian sebelum berlepas ke Korea Selatan awal minggu ini.

Ia satu saat bersejarah buat negara kerana Malaysia tidak pernah bertanding pada Sukan Olimpik Musim Sejuk sebelum ini.

Kontinjen Malaysia, yang menampilkan hanya dua atlet, adalah satu daripada kontinjen terkecil dalam kalangan 92 negara yang mengambil bahagian dengan hampir 3,000 atlet bertanding di Pyeongchang.

Tidak ada sebarang sasaran besar ditetapkan buat Julian dan Jeffrey, masing-masing akan bertanding pada 16 dan 18 Februari ini.

Penyertaan mereka bagaimanapun pasti menyuntik semangat generasi masa depan sukan musim sejuk negara.

https://www.youtube.com/watch?v=npBbF7Ibdx0

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 8:39pm
d