utama

BC kepingin zuriat lagi

Oleh Norhayati Nordin

SELEBRITI terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestary, 35, menafikan dakwaan dia tidak mahu hamil lagi.

Bunga yang ditemui di ibu kota baru-baru ini, berkata dia menyangkal tegas dakwaan tidak berasas itu.

Katanya, dia takkan sesekali menolak rezeki untuk menimang cahaya.

Ujar Bunga, sebagai wanita berkeluarga dia sentiasa ada keinginan untuk memperoleh anak kedua.

"Siapa kata saya sudah tidak mahu hamil lagi? Sejujurnya, saya ingin. Tetapi, urusan anak ini juga satu rezeki.

"Semuanya atas ketentuan Yang Maha Esa meskipun saya dan suami sudah berusaha," katanya.

Bunga berkata apapun dia sangat bersyukur kerana sudah dikurniakan seorang anak lelaki, Noah Sinclair. 8

Penyanyi lagu Wanita Terbahagia ini bertemu jodoh dengan pelakon Malaysia, Ashraf Sinclair, 39, dan mereka bernikah pada 8 November 2008.

Bunga yang akan mengadakan konsert sulungnya di negara ini bersama Anuar Zain dan Yuka Kharisma pada April nanti berkata dia selesa berfikir positif.

"Soal anak, kalau saya dan suami ada rezeki kami mahu sekurang-kurangnya seorang lagi.

"Namun, saya hanya mampu merancang dan selebihnya berserah pada kurniaan Tuhan saja," katanya.

Menurut Bunga, jika ditakdirkan dia dan suami hanya memiliki seorang anak, mereka redha.

"Sebagai suami isteri berkerjaya, saya dan Ashraf tidak pernah menjadikan soal anak sebagai isu.

"Kami OK dan menerima ketentuan Allah SWT dengan berlapang dada. Jika masih ada rezeki menimang anak lagi, kami terima," katanya.

Bunga berkata apapun dia gembira dan bahagia menjalani kehidupan hariannya sebagai isteri, Ashraf dan ibu, Noah.

Katanya, mereka bertiga saja sudah saling melengkapi di antara satu sama lain.

Disiarkan pada: February 10, 2018 @ 3:58pm
d