utama

Sissy jual bakat

Oleh Norhayati Nordin

Jika diukur dari segi populariti, tidak dinafikan ramai belum mengenali penyanyi, pemuzik dan komposer muda, Sissy Imann, 23.

Namun, menariknya pemilik nama sebenar Sissy Imann Mohammad Kamil ini berbakat besar.

Biarpun namanya masih kecil dalam industri hiburan tempatan, Sissy dikenali pemuzik Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei dan Jepun.

Justeru, kerjasamanya dengan kumpulan pemuzik dari Jepun, Rad Music School di Publika, Kuala Lumpur pada 31 Januari lalu, menjadi bukti.

“Ini satu penghargaan buat diri saya. Puas dan seronok apabila dapat menjayakan persembahan bersama kumpulan muzik dari Jepun.

“Tidak sangka, pemuzik dari luar negara yakin dengan bakat saya dan sedia buka ruang untuk bekerjasama.

“Lebih bermakna apabila penonton terhibur sepanjang persembahan berlangsung,” katanya.

Menyifatkan kolaborasi itu sebagai satu permulaan yang baik pada 2018, Sissy berharap kembara seninya selepas ini kian bersinar.

“Saya tahu, nama mungkin kurang menyerlah kerana tiada cerita sensasi atau gosip. Apatah lagi, saya masih belajar.

“Bagaimanapun, saya selesa dengan cara begini. Biar populariti datang kerana bakat dan bukan kerana kisah sensasi.

“Harap selepas ini bakat saya dapat buka mata banyak pihak dan pintu rezeki akan terbuka dengan lebih luas,” katanya yang sentiasa ditemani keluarga termasuk ketika menjayakan persembahan.

Anak kedua daripada tiga beradik ini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik di Institut Pendidikan Guru (IPG) Ilmu Khas di Cheras, Kuala Lumpur.

Sentiasa dinobatkan sebagai pelajar cemerlang, Sissy berkata, muzik dan penciptaan lagu adalah minatnya sejak dulu.

Selesa menyanyikan lagu ciptaan sendiri, Sissy pernah menang anugerah Lagu/OST Pilihan di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL 2016) menerusi lagu Mungkin Kamu.

Berbicara mengenai aktiviti seninya, Sissy berkata, selain menyanyi, dia juga guru muzik.

“Apapun, dalam masa terdekat, saya akan terbabit dengan satu program besar bersama penyanyi popular tanah air.

“Saya berterima kasih dengan penyanyi itu kerana yakin dengan bakat saya dan sudi mengundang saya,” katanya yang nekad memberikan persembahan terbaik.

Disiarkan pada: February 11, 2018 @ 9:17am
d