utama

Mana ada sentap...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Zul Ariffin mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lagi mengenai hubungannya dengan pelakon Zahirah Macwilson.

Zul, 32, berkata dia enggan bercerita lanjut mengenai perkara itu kerana bimbang membuka ruang untuk mana-mana pihak membahaskannya.

"Kalau ada bertanya saya senyum saja. Saya tidak mahu cakap apa-apa. Bukan apa, kalau saya bercerita sikit pun... ia sedikit sebanyak buka ruang untuk orang terus bercakap.

"Saya sudah berjanji pada diri, tahun ini memang nak fokus pada kerjaya saja. Cukup tahun lalu saya banyak relaks dan bercakap mengenai kisah cinta," katanya kepada Harian Metro.

Zul berkata demikian ketika diminta mengulas sejauh mana hubungannya dengan Zahirah selepas berdepan kontroversi tahun lalu yang turut membabitkan pelakon, Kamal Adli.

Menurut Zul, tidak ada istilah merajuk dalam dirinya, sebaliknya lebih kepada mencari privasi.

"Diakui, saya serba salah jika tidak menjawab pertanyaan pihak media mengenai hubungan kami. Cuma, biarlah kali ini beri saya sedikit ruang privasi pula.

"Saya jenis 'cool' saja dan tidak suka hebohkan sesuatu perkara. Kalau ada pihak lain yang nak bersuara, ia hak mereka. Asal saja bukan daripada saya," katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2018 @ 3:49pm
d