utama

Maklumat dan simpanan ahli selamat

Oleh Kalbana Perimbanayagam dan Mohd Hasbi Sidek

CAWANGAN dan pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Petaling Jaya ditutup buat sementara waktu susulan kejadian kebakaran di bangunan itu, hari ini.

Justeru, ahli dan majikan yang ingin menjalankan sebarang transaksi dengan KWSP dinasihatkan untuk menghubungi atau mengunjungi cawangan KWSP terdekat iaitu di ibu pejabat KWSP Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini, turut memberi jaminan kepada ahlinya bahawa integriti maklumat dan simpanan ahli tidak terjejas.

“Kami ingin memberi jaminan kepada ahli bahawa integriti maklumat dan simpanan semua ahli tidak terjejas.

“Kami akan sentiasa memantau situasi dan akan memaklumkan sebarang perkembangan sehingga operasi cawangan dibuka semula,” kata kenyataan itu.

Katanya lagi, pasukan Pengurusan Krisis Cawangan kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memastikan kebakaran tidak merebak ke tingkat lain atau kawasan sekitar.

“Memandangkan keselamatan pelanggan dan kakitangan adalah keutamaan kami, pengosongan bangunan telah dilakukan dan pejabat serta perkhidmatan kaunter ditutup.

“Selain ke cawangan berhampiran, ahli juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000 atau menghantar pertanyaan melalui laman web myEPF di http://enquiry.kwsp.gov.my,” kata kenyataan itu lagi.

Berita berkaitan

Bangunan KWSP terbakar [METROTV]

Disiarkan pada: February 13, 2018 @ 2:15pm
d