utama

'Perjalanan saya masih jauh'

Oleh HM Digital

Ratu tari kembali! Itu kata-kata yang selayaknya diberikan kepada penyanyi Ummu Shaikhah Stacy Anam atau lebih dikenali sebagai Stacy ketika membuat persembahan pembukaan pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32), Ahad lalu.

Selepas dua tahun tidak muncul di pentas berprestij itu, Stacy, 28, tampil dengan sisi yang lebih segar dan saling tidak tumpah seperti pada awal kemunculannya pada AJL23.

Stacy yang menyanyikan lagu Aku Stacy, Bosan dan Pakai Buang tetap mencipta magis dan meletakkan dirinya di kelas tersendiri.

Rata-rata komen yang ditulis di laman sosial menyifatkan hanya Stacy yang mampu memberikan persembahan bertenaga seperti itu.

Malah, tidak keterlaluan juga jika dikatakan, isteri kepada penyanyi Akim Ahmad ini masih sukar ditandingi dari segi mutu persembahan kerana mampu menyanyi dan menari dengan baik dalam satu masa.

Bagaimanapun, Stacy yang kini muncul dengan lagu Cakap Ke Tangan tidak mahu mendabik dada, sebaliknya apa yang dipersembahkan itu hasil usaha dan kerja keras selama hampir tiga bulan.

“Macam pernah dikatakan, saya ingin buat kemunculan semula dengan sesuatu yang boleh diingati. Saya tidak mahu sekadar mempamer persembahan biasa-biasa atau ala kadar.

“Disebabkan itu, selepas bersalin saya cuba mendapatkan berat ideal 48 kilogram. Saya gigih berlatih di gimnasium dengan bantuan jurulatih peribadi, Reen Saiden. Alhamdulillah, dalam tempoh tiga bulan saya dapat hasilnya.

“Malah, saya dapat rasakan perubahan dari segi stamina dan pernafasan sama seperti bujang dulu. Apa yang disaksikan pada AJL32 lalu saya anggap buah tangan buat semua peminat yang rindukan kemunculan saya,” katanya.

Walaupun persembahannya mendapat pujian ramai, Stacy tidak mahu terlalu selesa atau berasa cepat puas hati.

Stacy yang juga juara program Akademi Fantasia musim keenam (AF6) sebaliknya berasakan masih banyak perlu diperbaiki dan dia tidak akan berhenti untuk belajar.

“Perjalanan saya masih jauh. Biarpun orang meletakkan di kedudukan sama seperti penyanyi senior lain, saya tetap menganggap diri seperti budak baru belajar.

“Kalau saya sentiasa puas dengan apa diberikan, bimbang kualiti persembahan nanti tidak seperti apa yang diingini atau dijangkakan. Jadi, proses pembelajaran saya tidak pernah berhenti.

“Minat menyanyi tidak pernah padam dalam diri. Saya sentiasa ‘explore’ sesuatu yang baru untuk dipraktikkan dalam muzik dan lagu. Paling penting, saya ingin terus dikenali dan kekal lama dalam bidang ini,” katanya.

Rancang album baru

Dalam tempoh berehat, Stacy yang kali terakhir muncul dengan single Bila Bila kini dalam perancangan menghasilkan album terbaru.

“Ikut perancangan, lagu Romeo dan Bila Bila akan dimuatkan dalam album terbaru saya. Namun, perkara ini masih dalam proses perbincangan. Apatah lagi syarikat pengurusan baru saja bertukar ganti, jadi banyak perkara perlu diteliti.

“Kalau jadi, saya berharap album ini boleh diterima dan pergi jauh seperti album sebelumnya. Saya sentiasa optimis yang peminat masih inginkan album fizikal daripada seseorang penyanyi,” katanya.

Pada masa sama, Stacy juga dijangka terbabit dalam album terbaru Akim & The Majistret.

Menurut Stacy, jika perancangan suaminya itu direalisasikan, Stacy menjadi artis tunggal yang bekerjasama dengan kumpulan yang turut dianggotai suaminya, Akim. -Sudirman Mohd Tahir

Disiarkan pada: February 14, 2018 @ 6:05am
d