utama

Jahit guna dua kaki

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Machang: Tanpa kedua-dua tangan dan hanya menggunakan kaki, bapa kepada tiga anak ini begitu cekap menjahit pakaian pelanggan serta memandu kereta.

Walaupun tergolong sebagai orang kurang upaya (OKU), Rahim Yusoff, 51, yang lebih dikenali sebagai Poksu Mie yang tinggal di Pulai Chondong berdikari untuk menyara kehidupannya sekeluarga.

Dia yang tiada kedua-dua tangan separas bahu sejak lahir berkata, kekurangan dimiliki tidak menjadi penghalang kepadanya untuk berjaya seperti insan normal lain.

Kekurangan itu dianggap keistimewaan untuknya berusaha menjadi tukang jahit bagi menyara isteri, Noraishah Hamzah, 44, yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah dan tiga anak yang normal berusia antara empat hingga 14 tahun.

“Saya mula menjahit selepas menamatkan pengajian di Pusat Pemulihan OKU, Cheras, Kuala Lumpur 30 tahun lalu dan mengambil tempahan baju Melayu, baju wanita serta menjahit seluar jean.

“Saya mampu menghasilkan sepasang baju Melayu dalam masa sehari dengan upah RM90, selain menjahit jubah wanita dan menjahit seluar jean serendah RM5.

“Menerusi kerja ini, saya memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM15 sehari dan mampu menyara keluarga.

” Selain itu, saya dan isteri masing-masing mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 seorang,” katanya ketika ditemui di kedainya di Pulai Chondong.

Menurutnya, dia gemar melakukan kerja sendiri termasuk memandu kereta kerana tidak mahu menyusahkan orang lain dan mahu membuktikan OKU juga mampu mencari rezeki untuk keluarga.

“Isteri saya hanya mampu mengesot dan jika keluar, dia menggunakan kerusi roda untuk bergerak,” katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2018 @ 6:43am
d