utama

Damailah di sana [METROTV]

Oleh Norrasyidah Arshad

HUJAN mengiringi pengebumian pelakon terkenal era 1980-an, Allahyarham Azmil Mustapha di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, sebentar tadi.

Azmil atau nama sebenarnya, Mohd Azmil Mustapha Kamil, 65, disahkan meninggal dunia jam 12.40 tengah hari tadi akibat sakit jantung di rumahnya di Kondominium Sri Permata, Seksyen 9, dekat sini.

Adik bongsu Azmil, Muhammad Aziph, 50, berkata, abangnya pernah menjalani rawatan pintasan jantung pada 2016 selain dua kali diserang sakit jantung tahun lalu.

Katanya, walaupun sakit, abangnya tidak pernah patah semangat untuk terus berdakwah seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Dia juga sentiasa ceria walaupun kesihatan tidak mencapai tahap 100 peratus.

“Dalam waktu terdekat ini pun, abang ada dijemput untuk memberi ceramah agama namun Allah lebih menyayanginya. Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.

Terdahulu, jenazah Azmil dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Mohd Azmil adalah pasangannya dalam filem Ali Setan, Fauziah Ahmad Daud, DJ Dave dan penerbit Aziz Bakar.

Azmil yang popular menerusi lakonan beliau dalam filem Mekanik dan Ali Setan adalah bapa tunggal kepada lima anak berusia 16 hingga 33 tahun.

Disiarkan pada: February 14, 2018 @ 7:14pm
d