utama

Henti berlakon buat seketika

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Setahun selepas menyertai Gegar Vaganza 3 (GV3), barulah Zarul Husin tampil dengan single terbaru berjudul Remuk hasil ciptaan Aepul Roza Drama Band.

Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin, 45, berkata, lagu genre pop balada yang dihasilkan mengikut stail dan mood 1990-an itu bakal menemui peminat dalam bentuk digital, Mac ini.

“Kami dalam proses akhir menghasilkan video muzik lagu ini. Saya ambil masa agak lama selepas GV kerana nak menghasilkan produk terbaik buat peminat. Saya tak nak mereka kecewa sedangkan sudah lama menanti,” katanya.

Zarul berkata, dia tidak boleh memaksa dirinya menyanyikan lagu yang dirasakan kurang sesuai kerana boleh memberi kesan terhadap karier yang kembali bersemarak.

“Awalnya saya diberikan dua lagu ciptaan mereka yang boleh dikatakan dikenali juga dalam bidang penciptaan lagu.

“Namun saya berasakan kurang sesuai dengan jiwa dan sebaik mendapat lagu Aepul, saya terus pilih kerana melihat ciri-ciri lagu ini,” katanya.

Melangkah setapak lagi ke hadapan, album ini diterbitkan di bawah syarikatnya, Zarul Husin Entertainment Sdn Bhd dan pengedaran dilakukan Indigital Music.

Selain sibuk dengan tawaran menyanyi di sana sini, Zarul juga aktif berlakon dan sudah membintangi beberapa drama antaranya Cik Serba Tahu, Misteri Sofa Lama, My Darling, Inspektor Daniel dan yang paling diminati peminat, Syurga Yang Kedua.

Bagaimanapun, penyanyi lagu malar segar Ramalanku Benar Belaka ini terpaksa menghentikan seketika aktiviti lakonan bagi memberi tumpuan penuh terhadap tugasnya sebagai Mentor dalam Mentor Otai yang akan bersiaran di TV3 mulai bulan depan.

“Tawaran berlakon sentiasa ada tapi untuk memastikan tanggungjawab dalam Mentor Otai berjalan lancar, saya kenalah lupakan seketika lakonan.

“Bagi saya apa yang dibuat bukanlah kecil kerana sekiranya ambil tawaran berlakon terutama drama episod, banyak faktor perlu diambil kira termasuk membabitkan jadual pelakon lain. Saya tak nak menyusahkan semua pihak,” katanya.

Bergelar mentor membuka satu lagi profil baru dalam kerjaya Zarul. Dia mengakui agak terkejut apabila TV3 menawarkan peluang ini kepadanya.

“Memanglah mulanya saya kurang yakin untuk terima kerana nak dikatakan saya orang baru, saya bukanlah baru dalam seni. Tapi nak dikira lama sangat dalam seni pun, saya belum lama juga jadi artis. Nak digelar otai, saya bukanlah otai sangat.

“Apabila dijelaskan secara mendalam oleh TV3, barulah saya faham ini adalah perkongsian pengalaman kepada mereka yang mahu mencari tapak dalam seni. Malah mentor lain pun akan buat perkara yang sama dan kami bersaing secara sihat,” katanya.

Zarul berkata, Mentor Otai diwujudkan bertujuan menyemarakkan lagi persada seni dan percaya akan mendapat sambutan hangat daripada penonton.

“Satu mentor akan memilih dua protege dan apabila melihat peserta pada sesi uji bakat yang dibuat, saya yakin boleh membentuk mereka jadi yang terbaik.

“Kebanyakan mereka memang sudah terbabit dalam bidang seni sebagai penyanyi kelab dan pelbagai latar belakang lagi, tentu tak susah untuk saya bentuk mereka,” katanya.

Dia juga tidak menganggap satu kesukaran untuk mengajar protege kerana had umur peserta paling tinggi ialah 55 tahun.

“Kalau sekiranya ada protege saya umur begini, saya anggap mereka ibarat abang sendiri. Ia bukanlah satu perkara yang kekok nak dilakukan,” katanya.

Mahu terus maju

Mengulangi semula kata-katanya sebelum ini, Zarul tidak menyesal dengan keputusan meletak jawatan sebagai pramugara di Penerbangan Malaysia (MAS).

“Alhamdulillah, saya semakin gembira dengan apa yang dilalui. Insya-Allah dengan adanya syarikat sendiri, saya nak melangkah lebih maju dalam nyanyian, lakonan, pengurusan acara dan produksi.

“Saya juga sudah ada beberapa bakat yang sedang dinilai untuk dijadikan artis dan perlahan-lahan akan tampilkan mereka nanti,” katanya.

Menurutnya, apa yang dilakukan kerana mencontohi kejayaan beberapa rakan artis seperti Datuk Afdlin Shauki dan Nabil Ahmad yang berjaya membina empayar perniagaan sendiri.

“Alang-alang sudah terbabit secara langsung dalam industri, ada baiknya saya usahakan bersungguh-sungguh. Saya masih dalam proses belajar dan ini baru permulaan.

“Buat masa ini saya uruskan sendiri dahulu kerana operasinya masih kecil. Sekiranya syarikat ini semakin besar, mungkin saya akan dapatkan bantuan daripada mereka yang profesional pula untuk sama-sama menguruskannya,” katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2018 @ 7:09am
d