utama

'Luka' masih terasa

Oleh HM Digital

Kota Bharu: Hampir sebulan kehilangan isteri akibat insiden ragut di Machang, Mohd Zairie Mohamad Zain, 48, mengakui belum mampu menjalani kehidupan tanpa insan tersayang itu.

Malah, empat anaknya juga masih kesedihan dengan anak perempuan berusia 10 tahun terpaksa bertukar sekolah disebabkan tidak sanggup menetap di Machang.

Mohd Zairie berkata, anaknya itu kini bersekolah di daerah ini menghadapi kesukaran untuk meneruskan persekolahan di Machang kerana rindukan arwah ibunya, Maria Erianty Zakaria, 40.

“Akibat perbuatan dua peragut itu, saya hilang isteri dan anak hilang kasih sayang ibu. Kami kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, 10 Januari lalu, Maria Erianty yang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah selepas aktiviti senamrobik, diragut menyebabkan dia jatuh motosikal dan parah di kepala serta patah tangan kiri.

Insiden itu berlaku di Kampung Sri Rebana, Machang menyebabkan arwah koma lapan hari sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian 18 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Zairie berkata, sehingga kini dia tidak mampu melupakan penderitaan mereka terutama kesakitan yang ditanggung arwah isteri ketika akhir hayatnya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana sempat menjaga arwah isterinya sepenuh hati sepanjang tempoh koma dan tidak pernah meninggalkannya sehingga akhirnya.

“Selama lapan hari menjaga isteri, saya memang tidak menyangka dia akan meninggalkan kami selama-lamanya.

“Ketika itu saya masih berharap arwah sedar dan akan pulih selepas melihat keadaannya yang melepasi tahap kritikal,” katanya.

Bapa empat cahaya mata itu berkata, sehingga kini, dia masih menyesuaikan diri untuk menguruskan anak-anak sendirian tanpa isteri di sisi.

“Selama ini, kami uruskan keluarga bersama dan kini saya sendirian. Saya berjanji akan menjaga anak-anak dengan baik walaupun tanpa kehadiran isteri.

“Saya berharap pergut itu dikenakan hukuman setimpal,” katanya.

Susulan kejadian menimpa Maria Erianty, dua beradik berusia 26 tahun dan 14 tahun ditahan dan ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah Methamphetamine.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 4:27am
d