utama

'Hubungan dengan Elfira masih baik' - Sufian

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“Saya anggap mak El macam mak saya juga. Dia seorang yang baik dan saya hormati dia” kata penyanyi Sufian Suhaimi, 26, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan ibu pelakon Elfira Loy yang mengatakan merek sudah putus tunang.

Sufian berkata, sehingga sekarang hubungannya dengan Elfira masih baik.

“Alhamdulillah, hubungan saya dan El sangat baik. Sampai sekarang. Saya cuba untuk jadi yang terbaik,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Sufian, dia menyerahkan perkara itu kepada kedua ibu bapanya kerana tidak mahu membelakangkan mereka.

“Mengenai cincin saya tak setuju. Sebab bukan saya yang cakap. Buat masa ini, biarlah kedua orang tua selesaikan dengan penuh adat.

“Saya tak nak membelakangi keluarga, terutama ibu dan ayah,” katanya.

Ditanya mengenai Instagram Story (IG Story) yang dimuat naik, Sufian yang popular menerusi lagu Terakhir menafikan ia ditujukan kepada mana-mana pihak.

“Walaupun hubungan kami baik, tetapi perkahwinan bukan mengenai dua individu saja.

“Ia juga membabitkan dua belah keluarga. IG Story itu hanya luahan hati mengenai situasi saya sekarang,” katanya.

Sufian juga berharap agar tidak ada mana-mana pihak yang membuat spekulasi negatif menenai hubungannya dengan Elfira.

“Saya harap janganlah ada mana-mana pihak buat spekulasi sendiri. Doakan El, saya dan keluarga diberikan kekuatan dan ketenangan” katanya.

Terdahulu, menerusi laporan akhbar ini, ibu Elfira, Filzah Yusoff, 52, mengesahkan bakal memulangkan cincin pertunangan kepada keluarga Sufian sekali gus menjawab segala spekulasi mengenai hubungan itu.

Filzah berkata, Elfira yang kini berada di New York, Amerika Syarikat maklum berkenaan keputusan diambil.

Filzah juga menjelaskan, dia menganggap apa yang berlaku sudah ketentuan Allah.

Sufian dan Elfira mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober lalu.

Berita berkaitan:

Elfira Loy, Sufian putus tunang

Disiarkan pada: February 17, 2018 @ 9:22pm
d