utama

Mourinho cari pengganti Carrick

Oleh AFP

Manchester: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mendedahkan hasratnya untuk mendapatkan seorang lagi pemain tengah pada jendela perpindahan selepas ini.

Begitupun, ia bukan untuk menggantikan tempat Paul Pogba tetapi sebaliknya Michael Carrick.

Mourinho menghabiskan kebanyakan masa ketika sidang media, kelmarin bagi aksi pusingan kelima Piala FA bertemu Huddersfield Town, malam ini (semalam) dengan menjawab soalan mengenai masa depan Pogba selepas timbul laporan mengenai pergeserannya dengan bintang Perancis itu.

Akhbar Perancis, L’Equipe mendakwa Pogba, yang menyertai semula United dari Juventus dengan nilai AS$123.5 juta (RM480.91 juta) pada Ogos 2016 tidak gembira dengan peranannya bersama pasukan dan berkata masa depannya jauh dari Old Trafford.

Pogba bergelut dengan prestasi sejak beberapa minggu lalu dan Mourinho mengeluarkan pemain berusia 24 tahun itu dalam dua daripada tiga perlawanan terakhir United.

Pengurus Portugal itu begitupun membalas kembali apa yang dipercayainya sebagai ‘tipu’ membabitkan Pogba dan menyuarakan keinginannya untuk menguatkan bahagian tengah selepas Carrick, 36, dijangka bersara pada penghujung musim untuk mengambil alih tugas sebagai salah seorang staf kejurulatihan United.

“Kami perlu menandatangani pemain tengah,” kata Mourinho. “Kerana kami akan kehilangan Michael Carrick. Sudah tentu kami memerlukan keseimbangan dalam pasukan.

“Sesetengah daripada kami (media) berterusan berkata yang kami akan membeli penyerang, pemain sayap, sayap kiri dan sayap kanan.”

“Kamu boleh menuduh saya dengan pelbagai perkara, tetapi kamu tidak boleh berkata yang saya berbohong kepada kamu. Apabila saya tidak mahu mengatakan sesuatu, saya tidak mahu. Tetapi, saya tidak membawa kami ke arah yang berbeza.

“Kami sedang mencari dan akan cuba untuk mendapatkan pemain tengah.”

Carrick sebelum ini membayangkan pemain akedemi United, Scott McTominay, 21 sebagai pemain berpotensi untuk menggantikan tempatnya dan Mourinho berkata dia sedar dengan kemampuan pemain berkenaan.

Disiarkan pada: February 18, 2018 @ 4:45am
d