utama

Taman suram

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Taman Paya Bakau di sini yang menjadi tumpuan ramai pengunjung dari dalam mahupun luar daerah Manjung semakin terjejas dengan kemudahan yang tidak diselenggara.

Pengunjung, Nor Sadrina Ismail, 28, yang pada mulanya teruja melihat jambatan gantung di taman itu kesal tidak boleh melaluinya kerana struktur binaan tidak sempurna tanpa penyelenggaraan.

“Ini kunjungan pertama saya ke sini dan tertarik dengan tempat ini, namun sedih melihat kemudahan di sini tidak berada dalam keadaan baik dan persekitarannya suram.

“Ada besi penghadang laluan berkarat dan patah dikhuatiri membahayakan pengunjung terutama kanak-kanak selain persekitaran kotor di hadapan pintu masuk kerana ramai memberi makan kepada monyet liar di sini.

“Pihak terbabit wajar membaiki kerosakan dengan cepat kerana taman ini sering menjadi tumpuan ramai supaya imej pelancongan di sini tidak terjejas,” katanya.

Pengunjung, V Gannetion, 61, berkata, dia yang tinggal di kawasan berhampiran kerap datang ke taman itu beriadah bersama keluarga sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

“Tindakan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menukar laluan ini dengan struktur simen perlu dipuji kerana sebelum ini laluan di sini dibina dengan kayu.

“Ini menjamin keselamatan pengunjung kerana struktur binaannya lebih kukuh, namun kesal jambatan gantung di sini tidak boleh digunakan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis MPM Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, taman itu dalam fasa penyelenggaraan dan peringkat pertama tamat pada Disember lalu.

“Fasa kedua dijangka tahun ini dan jika peruntukan diterima lebih awal, kerja penyelenggaraan dilaksanakan lebih awal yang membabitkan jambatan gantung, laluan pejalan kaki dan kebersihan kawasan.

“Kami menukar laluan daripada kayu kepada simen berikutan lebih selamat selain kos penyelenggaraan kayu tinggi dan cepat rosak, malah selepas ini MPM menempatkan pasukan operasi kekal bertanggungjawab berkaitan penyelenggaraan dan kebersihan di taman itu,” katanya.

Menurutnya, papan tanda menasihatkan orang ramai tidak melalui kawasan dilarang selain ibu bapa perlu mengawasi anak ketika beriadah di situ.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 9:18am
d