utama

Dulu 50 sekarang 58...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON jelita, Rozita Che Wan akui mengalami pertambahan berat badan sehingga lapan kilogram selepas seminggu pulang dari mengerjakan ibadah umrah.

Rozita atau mesra disapa Che Ta berkata, disebabkan itu ramai menyangka dia sedang hamil apatah lagi sejak kebelakangan ini dia kerap mengenakan skirt kembang dan blaus longgar.

"Mana ada saya hamil. Saya sekarang berisi sebab berat naik lapan kilogram. Kalau dulu berat saya 50 kilogram, sekarang jadi 58 kilogram. Sepanjang menunaikan umrah, selera makan saya bertambah kerana penangan nasi Arab.

"Lagi satu, mungkin disebabkan saya pakai baju besar dan longgar membuatkan orang beranggapan saya hamil," katanya kepada Harian Metro.

Che Ta berkata, dia sekarang sedang berusaha untuk mendapatkan semula berat ideal.

"Kalau nak tahu, semua baju sudah tidak muat. Kain pun susah nak zip. Jadi apa saya lakukan sekarang adalah kurangkan makan.

"Kalau nak bersenam mungkin ambil masa pula, sebab saya banyak kerja lain nak kena buat," katanya.

Bagaimanapun, Rozita tidak menolak rezeki sekiranya hamil lagi.

Namun, dia dan suami, Zain Saidin tidak mempunyai perancangan ke arah itu.

"Buat masa sekarang, belum ada perancangan lagi nak tambah anak. Saya dan suami ingin fokus kepada Aaisyah yang sedang membesar.

"Dalam masa sama, perniagaan diusahakan sedang berkembang jadi saya perlu memberi sepenuh komitmen. Tidak ketinggalan saya ada beberapa projek lain yang perlu diberi keutamaan," katanya.

Rozita dan Zain berkahwin pada 11 Disember 2013 dan dikurniakan anak perempuan, Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia tiga tahun.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 1:29pm
d