utama

Badang Bali

Oleh Agensi

Bali: Seorang tukang angkut barang digelar lelaki paling kuat di Bali selepas aksinya memikul motosikal di bahu dan berjalan pantas menuju ke feri yang menunggu di tepi pantai tular di media sosial di seluruh dunia.

Lelaki bertubuh kurus itu, Nyoman Kalor berkata, dia mencari rezeki dengan menjadi tukang angkat barang di kawasan Sanur sejak 10 tahun lalu dan mampu mengangkat bebanan lebih 100 kilogram.

Nyoman, 45, memberitahu, pada awalnya dia hanya mencuba mengangkat motosikal ke feri selepas kasihan melihat pemilik kenderaan itu terpaksa menunggu lama untuk beberapa rakannya mengangkat kenderaan itu.

“Pada awalnya saya hanya mencuba mengangkat motosikal tetapi saya mula belajar untuk menjaga keseimbangan beban motosikal dan melihat situasi ombak.

“Keseimbangan dan keadaan ombak adalah kunci utama untuk mengangkat beban yang berat itu,” katanya yang dipetik Bali Express kelmarin.

Menurutnya, selepas beberapa tahun akhirnya dia sudah biasa mengangkat motosikal dan dia adalah satu-satunya tukang angkat barang di Bali yang mampu berbuat demikian.

Dalam sehari, Nyoman biasanya mengangkat dua hingga empat motosikal menuju ke kapal.

Nyoman memberitahu, dia tidak menetapkan bayaran tetapi biasanya pelanggan membayar Rp50,000 (RM14) hingga Rp100,000 (RM29) untuk setiap motosikal yang diangkatnya.

“Saya tidak mahu menetapkan harga atau meminta bayaran yang lebih, kasihan mereka,” jelasnya.

Walaupun pekerjaan itu dilihat sukar, Nyoman mampu hidup selesa dan dia tidak mempunyai masalah untuk membiayai pelajaran tiga orang anaknya termasuk seorang yang menuntut di universiti.

Sejak gambarnya mengangkat motosikal tular di Internet, Nyoman menerima beberapa gelaran seperti lelaki besi, Hulk dan lelaki paling kuat di Bali.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 5:50am
d