utama

Belakang 'berekor'

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Dilihat dari luar, premis perniagaan itu nampak seperti biasa sama seperti kedai runcit, telefon atau dobi tetapi di belakangnya tersembunyi kedai nombor ekor atau ramalan tidak berlesen.

Itu taktik terbaru sindiket perjudian untuk mengaburi mata pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari wang secara mudah.

Lebih ‘canggih’, premis tersembunyi itu turut diubah suai seperti kedai nombor ramalan berlesen yang mempunyai kaunter untuk menulis nombor dan kaunter pembayaran.

Skuad Khas Harian Metro digerakkan ke Jalan Penerbit di Shah Alam selepas menerima aduan awam mengenai penjualan nombor ekor secara berleluasa dalam kalangan orang Islam di kawasan berkenaan.

Tinjauan dilakukan di premis berkenaan sekitar jam 6 petang hingga 7 malam semalam, mendapati dakwaan itu memang benar.

Di sebalik kedai runcit itu, wartawan ditemani juruvideo masuk ke premis berkenaan sebelum melihat ‘kedai nombor’ tersembunyi di bahagian belakang.

Hasil pemerhatian, terdapat sekurang-kurangnya 10 lelaki sedang membeli dan menulis nombor dalam kedai berkenaan di kaunter yang disediakan.

Seorang wanita dan seorang lelaki dilihat menjaga kaunter serta bertanggungjawab mengambil pertaruhan daripada ‘kaki nombor’ terutama orang Melayu.

Tinjauan juga mendapati penjaga kaunter itu tidak menggunakan komputer untuk merekodkan pertaruhan seperti kedai berlesen sebaliknya hanya menggunakan telefon bimbit yang sudah diselaraskan dengan mesin pencetak kecil.

Ini dipercayai bertujuan memudahkan mereka menghentikan operasi sekiranya menghidu kehadiran pihak berkuasa.

Skuad Khas Harian Metro seterusnya bergerak ke kawasan perumahan di Sri Damansara yang mana dakwaan mengatakan terdapat kedai judi berselindung di sebalik perniagaan dobi dan telefon.

Hasilnya dua kedai judi yang terletak bersebelahan itu didapati dengan jelas dilihat menjual nombor ekor kepada sesiapa saja.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 6:19am
d