utama

Temui ajal dirodok tombak

Oleh Mohd Rizal Abdullah

PEKERJA ladang kelapa sawit terkejut apabila menemui mayat rakan sekerja mereka dengan kesan tetakan pada leher dan punggung dalam ladang kelapa sawit di Sungai Maleh, Belaga, semalam.

Ketua Polis Daerah Belaga Deputi Superintendan Melay Tingom berkata, sepasukan anggota diketuai Inspektor Sandes Edwin Umpang bergegas ke lokasi yang mengambil masa empat jam perjalanan dari Pekan Belaga sejurus dimaklumkan mengenai kejadian.

"Mangsa yang juga seorang warga Indonesia berusia 29 tahun mati akibat kecederaan serius pada leher dan punggung, dipercayai dirodok dari arah belakang menggunakan senjata tajam.

"Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemui sebilah tombak dengan kesan darah kira-kira tiga meter dari mayat mangsa. Kita tidak menolak kemungkinan tombak itu digunakan dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pihak polis turut menemui sebilah parang dipercayai milik mangsa berikutan terdapat sarung parang pada pinggangnya.

"Ada kemungkinan mangsa menggunakan parang berkenaan untuk mempertahankan diri sejurus diserang oleh individu tidak dikenali.

“Usaha sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian itu, termasuk individu yang menyerang mangsa," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat.

"Kejadian diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini kerana kes masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 2:02pm
d