utama

[UPDATE] Jumpa mayat mangsa ketiga

Oleh Fazrik Kamarudin

MAYAT seorang wanita yang ditemui oleh pasukan Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR), 12.30 tengah hari tadi disahkan mayat Silawati Zailan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S.Somu, berkata mayatnya ditemui tersangkut di celah tebing kira-kira 13 kilometer dari lokasi kejadian.

“Kita menemui mayat ketiga, seorang wanita yang disahkan sebagai Silawati Zailan berusia 31 tahun.

“Mayatnya sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan akan diserahkan kepada waris.

“Operasi mencari akan diteruskan, dan kita harap dua lagi mangsa dapat ditemui,” katanya kepada pemberita.

Mayat Silawati adalah mayat ketiga yang ditemui selepas mayat seorang warga Indonesia, Hashir, 38 tahun, manakala seorang lagi mangsa dikenali sebagai Jamaluddin Rapawi, 14 tahun.

Dua lagi mangsa masih belum ditemui iaitu Rapawi Jum’ada, 37 tahun dan Jeleha Hashim, 48 tahun.

Anggota Bomba dan Penyelamat membawa mayat mangsa lemas Silawati Zailan ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh yang menempatkan mangsa lemas di Kampung Paya Jaras. NSTP/ZUNNUR AL SHAFIQ

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 3:01pm
d