utama

'Ini semua salah bos...'

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Seorang pemandu bas ekspres mendakwa majikannya menggunakan dokumen pengenalan dirinya untuk memperbaharui cukai perjalanan bas menyebabkan dia memiliki 15 saman lampau.

Itu alasan seorang lelaki berusia 50 tahun yang turut mempunyai waran tangkap ketika ditahan dalam Op Selamat di Terminal Bas Larkin di sini, malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Johor, Superintendan Razak Md Said berkata, pemeriksaan turut mendapati individu itu ada saman tertunggak dan tidak dijelaskan sejak 2011.

“Jumlah saman tertunggak direkodkan pemandu itu berjumlah RM4,500 yang membabitkan kesalahan melanggar had laju dan memandu perlahan di lorong kanan.

“Pemandu itu ditahan ketika tiba di terminal berkenaan dari perjalanan arah utara,” katanya.

Selain itu, Razak berkata, seorang lagi pemandu bas berusia 38 tahun ditahan kerana ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif methamphetamine.

“Dia disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, 25 bas ekspres diperiksa sepanjang operasi bermula jam 9 malam hingga 11 malam dengan lapan saman pelbagai kesalahan dikeluarkan.

“Kami turut memeriksa 30 lelaki berusia 30 hingga 50 tahun dalam operasi disertai 18 pegawai serta anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor,” katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 5:45am
d