utama

Bakar terkilan pemergian Chee Keong [METROTV]

Oleh Syafiq Aznan

“DIA sememangnya begitu popular semasa beraksi di Hong Kong. Kalau kita tengok majalah sukan di Hong Kong pada waktu itu, memang kita akan sentiasa tengok mukanya,” kata bekas rakan sepasukan mendiang Chow Chee Keong, Datuk Mohamad Bakar.

Menurut penolong jurulatih skuad Olimpik Moscow 1980 itu, mendiang memiliki perwatakan yang menarik jadi tidak menghairankan apabila namanya begitu popular ketika beraksi di negara terbabit sekitar tahun 1970-an.

Bagaimanapun, di sebalik memiliki reputasi yang hebat selaku penjaga gol terbaik Asia ketika itu, Bakar mengakui terkilan selepas tidak berkesempatan untuk ‘berkongsi padang’ bersama Chee Keong ketika beraksi bersama skuad senior negara.

“Pada zaman saya, kami jarang memanggil pemain yang beraksi di luar negara memandangkan pada masa itu, kita juga sudah memiliki beberapa penjaga gol yang berkaliber seperti R Arumugam, Wong Kam Fook dan juga Lim Fung Kee.

“Jadi, kalau hendak menyorot kembali masa, mungkin hanya itulah sedikit rasa terkilan yang boleh saya kenangkan. Malah saya sekadar sempat beraksi bersamanya ketika mewakili skuad remaja sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Chee Keong, Bakar menyifatkan mendiang sebagai seorang pemain yang memiliki bakat semulajadi untuk seorang penjaga gol yang berwibawa.

“Dia memiliki fizikal yang tinggi dan bukan sahaja boleh beraksi sebagai penjaga gol, dia juga boleh beraksi selaku penyerang.

“Dia adalah contoh dan model ikutan dalam bola sepak. Tidak boleh disangkal betapa dia adalah antara penjaga gol terbaik yang pernah dihasilkan oleh Malaysia,” katanya.

Bekas penjaga gol kebangsaan era 1960-an itu meninggal dunia pada jam 7 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Dia yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 69 tahun itu mula terkenal apabila dinobatkan selaku Penjaga Gol Terbaik Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk lima tahun berturut-turut bermula dari tahun 1966 hingga 1970.

Selepas membarisi skuad bawah 20 tahun negara (B-20) pada usia 13 tahun, dia berjaya muncul antara pemain termuda menyarung jersi skuad utama kebangsaan apabila berbuat demikian pada usia 15 tahun.

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 12:55pm
d