utama

Ajal 'jemput' tiga beranak

Oleh Siti Nadzirah Che Mud

TIGA beranak maut selepas Perodua Alza yang dinaiki bertembung pacuan empat roda di Kilometer 33, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Labok, Machang, awal pagi hari ini.

Dalam kemalangan pada 12.30 tengah malam, mangsa dikenali sebagai Siti Nur Alyaa Izzati Shaikh Rahim, 23, dan bapanya, Shaikh Rahim Shaikh Abdullah, 56, maut di tempat kejadian.

Manakala isteri Shaikh Rahim, Tengku Fariza Tuan Mat, 52, pula meninggal dunia di Hospital Machang.

Anak perempuan Shaikh Rahim, Siti Nur Amanina, 21, serta pemandu Mitsubishi Triton berusia 27 tahun turut cedera, dan menerima rawatan di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Dzulkifli Abd Ghani, berkata, hasil siasatan awal kemalangan berlaku apabila kereta pelbagai guna (MPV) dinaiki keluarga itu dari arah Kuala Krai menuju ke Kota Bharu.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian, kenderaan Mitsubishi Triton dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berdepan sehingga menyebabkan kenderaan mangsa berpusing dan terbalik.

"Kemalangan berkenaan menyebabkan dua ahli keluarga meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan, "katanya ketika dihubungi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 22, 2018 @ 10:23am
d