utama

Berlakon guna pakaian sendiri

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Melihat ketegasannya mahukan kesempurnaan membabitkan penampilan watak yang dijayakan, pasti ramai menganggap pelakon berkarakter, Nabila Huda seorang yang ‘demanding’ dan berlagak ‘diva’.

Apatah lagi, dia mahu memastikan pakaian yang disarung ketika menjayakan babak perlu kena dengan situasi pasti membuat orang sekeliling berfikir bukan mudah untuk berdepan pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 ini.

Pandangan sedemikian pastinya datang daripada mereka yang memandang luaran, sedangkan apa yang dinyatakan itu sangat perlu bagi seorang pelakon supaya watak dijayakan benar-benar hidup.

Tambahan pula ramai yang tidak tahu terutamanya pelakon baru bahawa untuk menghidupkan watak adalah tanggungjawab pelakon.

Atas alasan itu juga Nabila ketika ditemui baru-baru ini menegaskan, bayaran lakonan yang diterima sebahagiannya akan dibelanjakan untuk membeli pakaian yang dirasakan sesuai dengan watak bakal dijayakan.

“Segelintir pendatang baru yang saya lihat tidak pernah memberi penekanan kepada perkara ini. Kebanyakannya mahu kelihatan cantik walaupun penampilan itu tidak sesuai dengan babak dijayakan,” katanya.

Nabila berkata, dia berlakon bukan kerana mengejar duit semata-mata tetapi lebih kepada ‘seni’ itu sendiri.

Bagi memastikan apa yang dilakukan itu memberi impak kepada penonton, pelakon filem Munafik ini sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk membeli pakaian sesuai.

“Saya sangat malu sekiranya tampil dengan baju sama dalam beberapa babak untuk drama yang sama. Impak perlu ada pada penampilan pelakon dan ia tidak bergantung kepada lakonan bagus semata-mata.

“Setiap perkara perlu diberikan penekanan dan penampilan turut mempengaruhi gaya lakonan seseorang pelakon,” katanya.

Menurut Nabila, apabila berlakon dia memang sedikit kritis sama ada terhadap jalan cerita mahupun watak yang dijayakan.

Contohnya kerja seorang pelakon bukan setakat mengutarakan dialog, tetapi sebelum penggambaran bermula lagi iaitu sebaik bersetuju menerima tawaran seorang pelakon itu perlu mengkaji jalan cerita dan perwatakan.

“Menerusi watak yang dijayakan itu, seorang pelakon perlu melihat kesinambungan babak dan menerusinya perancangan boleh dibuat baju apa yang dia harus ada dan penampilan yang bagaimana mesti ditonjolkan,” katanya.

Menurut Nabila, ia juga perlu dibincangkan dengan pengarah supaya kedua-dua pihak faham.

“Disebabkan itu juga, saya lebih senang bekerja dengan pengarah yang saya pernah bekerja dengannya. Jadi, kami lebih mudah memahami cara kerja masing-masing. Persefahaman itu penting.

“Jika menjayakan watak sedih, saya tidak akan sesekali mengenakan pakaian berwarna terang. Warna baju yang tersarung di badan juga boleh memberikan gambaran membabitkan penjiwaan watak,” katanya.

Nabila berkata, dengan usaha kecilnya itu iaitu mendapatkan pakaian sendiri dan menentukan penampilan watak secara tidak langsung membantu produksi drama yang dibintangi.

“Kalau kita mahu mengharapkan semua disiapkan produksi tidak boleh juga. Ini kerana kakitangan bahagian penata seni dan pakaian perlu melayan ramai lagi pelakon.

“Usaha kecil yang pelakon itu sendiri lakukan akan membuatkan kerja menjadi mudah dan penggambaran boleh dilaksanakan dengan pantas,” katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 5:24am
d