utama

Bayi tujuh bulan derita tiga penyakit

Oleh Mohamed Farid Noh

Batu Pahat: Seorang bayi perempuan dari Kampung Parit Jambi, Mukim 7, Yong Peng, dekat sini, menanggung derita akibat pelbagai komplikasi kesihatan sejak dilahirkan tujuh bulan lalu.

Siti Iszarina Erbain yang lahir pramatang dengan berat 1.5 kilogram (kg) menderita saluran jantung tersekat, saluran nafas sempit dan sumbing pada lelangit.

Ibunya, Halimatul Saadiah Ishak, 37, berkata, anak bongsunya dirawat di wad penjagaan intensif bayi (NICU) di Hospital Serdang dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) sejak dilahirkan sebelum dibenarkan pulang.

Katanya, Siti Iszarina atau dipanggil Siti juga perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi masalah jantung dan sumbing pada lelangit manakala HSNI bagi masalah saluran pernafasan sempit.

“Siti kini bergantung sepenuhnya kepada susu formula yang perlu diberi setiap tiga jam menerusi saluran tiub ke perutnya dan tidak boleh makan berikutan masalah sumbing pada lelangitnya.

“Leher Siti juga ditebuk dan diletakkan tiub bagi menyedut kahak setiap kali nafas berbunyi atau laju bagi mengelakkannya sesak nafas,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami, Erbain Othman, 45, perlu peka terutama pada waktu malam kerana bimbang dia sesak nafas atau tersedak selain menyedut kahak menggunakan mesin khas dipinjamkan HSNI.

“Pembedahan membetulkan saluran jantung, sumbing pada lelangit dan saluran pernafasannya hanya boleh dilaksanakan apabila usianya dua tahun selain berat badannya yang hanya 4.7 kg iaitu di bawah sasaran doktor,” katanya.

Sementara itu, Erbain yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berkata, Siti juga tidak bersuara walaupun ketika menangis.

Berikutan itu katanya, dia dan isteri perlu berwaspada serta melihat riak muka dan bunyi nafas Siti bagi mengetahui sama ada bayi mereka sesak nafas.

“Perbelanjaan menguruskan Siti termasuk kelengkapan perubatan, susu serta kos rawatan susulan ke HSA dan HSNI mencecah RM1,000 bersamaan dengan gaji sebulan saya,” kata bapa kepada tiga lagi anak lelaki berusia lima, lapan dan 10 tahun.

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 6:05am
d