utama

Pujuk rayu tiada hasil

Oleh Fazrik Kamarudin

Petaling Jaya: Pelbagai alasan dan helah diberikan, malah ada yang menawarkan rasuah supaya tidak diambil tindakan.

Itu tindakan segelintir warga asing yang dikesan dalam Operasi Lampu Merah dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, semalam.

Mereka yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan trafik cuba memujuk anggota polis supaya tidak dikenakan tindakan namun rancangan itu gagal apabila polis mengeluarkan saman terhadap kesalahan dilakukan.

Ketua JSPT Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, operasi dijalankan adalah sebahagian daripada Op Selamat ke-12 yang berjalan sehingga tengah malam tadi.

“Dalam operasi ini, kami mengeluarkan 1,169 saman terhadap pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan direkodkan melanggar lampu isyarat sebanyak 291 saman, tiada lesen memandu (222 saman), tiada cukai jalan (72 saman) dan lain-lain kesalahan (422 saman).

“Operasi dijalankan serentak di semua daerah di Selangor bermula jam 10 pagi hari ini (semalam) dan tamat jam 12 tengah hari (semalam),” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Mengulas mengenai keberkesanan Op Selamat kali ini, Azman berkata, ada petanda positif ditunjukkan sehingga semalam.

Katanya, sebaik saja Op Selamat tamat malam semalam pihaknya akan melakukan semakan semula setiap tindakan diambil.

“Ada petunjuk positif, kita masih belum ada statistik rasmi, tapi kalau dilihat ada penurunan kes kemalangan dan kemalangan maut berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kami tunggu keseluruhan statistik, baru buat kesimpulan dan rumusan Op Selamat bagi Selangor untuk tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 6:28am
d