utama

Neera persiapkan diri

Oleh Najiy Jefri

Neera Azizi bersyukur apabila kehadirannya dalam bidang lakonan bersih tanpa sebarang kontroversi selepas empat tahun mencanai bakat.

Neera berkata, ketika nekad menceburi kerjaya lakonan dia sudah mempersiapkan diri berdepan apa saja kemungkinan termasuk dihimpit kontroversi.

“Sebagai pelakon yang masih ‘hijau’, tidak dinafikan wujud kebimbangan jika terpalit cerita kurang enak.

“Saya sedar artis dan gosip tidak dapat dipisahkan, tetapi kalau boleh biarlah dijauhkan. Bagaimanapun, saya kena berlapang dada dan sentiasa bersedia.

“Syukur, setakat ini belum ada cerita kurang manis mengenai saya diperkatakan dan harap ia berterusan begini,” katanya.

Ditanya mengenai kerjaya lakonannya, Neera atau nama sebenarnya Nurazneera Azizi kini bergerak selangkah lagi ke hadapan dengan mencuba nasib sebagai penyanyi.

Mempertaruhkan single pertama berjudul Rasa Hati ciptaan B-Heart, Neera berharap percubaan pertamanya ini membuahkan hasil.

“Tidak salah untuk mencuba bidang ini, mana tahu ia akan membuahkan rezeki? Lagipun, saya masih muda dan peluang meneroka cabang baru sentiasa terbuka.

“Kalau diterima saya akan teruskan dengan single lain,” katanya.

Menurut Neera, bagi memantapkan suaranya, dia mengikuti kelas vokal selama tiga minggu.

Dia juga banyak meminta nasihat daripada kakaknya, Zeera Azizi yang pernah terbabit dengan industri seni suara.

“Saya menyertai kelas vokal bagi mempelajari teknik nyanyian yang betul. Saya juga dapat nasihat daripada rakan artis dan Zeera,” katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 2:54am
d