utama

Sedia 'hadap' kecaman

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Setiap kali berpeluang mencuba perkara baru, pasti perasaan takut dan gementar akan terbit dari hati. Begitu juga buat penyanyi remaja popular, Tajul, 19, ketika berkongsi percubaan pertamanya sebagai pelakon.

Penyanyi dikenali menerusi lagu Sedalam Dalam Rindu ini bakal muncul dalam filem komedi berjudul Enjin No 9 arahan sulung Raja Azmi yang akan ditayangkan pada 29 Mac depan.

“Pastinya saya berdebar kerana ini kali pertama saya berlakon. Lagipun, saya memang tak pernah berlakon. Apa yang mampu saja saya lakukan.

“Takut pun ada, tapi pada masa sama harapan juga sangat tinggi mengharapkan lakonan pertama ini dapat diterima ramai,” katanya.

Tajul atau nama sebenarnya Tajul Arif Noor Md Shari berkata, semua peminatnya sudah tahu mengenai percubaannya sebagai pelakon dan mereka memberi maklum balas positif.

Dia menghargai sokongan diberikan peminat, namun tetap bimbang akan dikecam sebagai ‘kayu’.

Katanya, perkara itu adalah biasa kerana sukar untuk menutup mulut mereka yang suka mengecam.

“Mahu atau tidak, kenalah saya hadap nanti. Namun begitu, ia tidak mematahkan semangat saya untuk menerima tawaran lain pada masa depan,” katanya.

Walaupun akan menerima sebarang tawaran berlakon dalam drama atau telefilem selepas ini, Tajul akui minat terhadap nyanyian melebihi lakonan.

Katanya, jika dibandingkan antara lakonan dengan nyanyian, nyanyian lebih senang dan tidak memenatkan.

Sesi penggambaran memerlukan pelakon menunggu lama, menghafal skrip dan meluahkan emosi yang betul.

Ia berbeza dengan nyanyian yang hanya memakan masa 10 hingga 15 minit di atas pentas.

“Penat menyanyi tidak seperti berlakon. Menyanyi dalam beberapa lagu yang mengambil masa tidak sampai satu jam dan selepas itu sudah boleh balik.

“Berlakon pula ambil banyak masa dan memenatkan mental serta fizikal,” katanya.

Dalam filem itu, Tajul berganding dengan beberapa pelakon popular antaranya Kazar Saisi, Datin Fadilah Mansor, Sharifah Shahira dan Dottie.

Dia juga bergandingan dengan beberapa pelakon baru seperti Ayunni Haris dan Bila AF.

Ketinggalan berbanding BBNU lain

Tahun lalu Tajul pernah mendedahkan dia bakal merakam sebuah lagu runut bunyi untuk filem Bollywood bersama Wany Hasrita di India.

Bagaimanapun, tawaran itu terpaksa ditolak kerana dia sudah terikat dengan komitmen lain.

“Tarikh yang diberikan syarikat produksi di India itu tidak kena dengan jadual saya. Lagipun, pengurus kami sudah bersetuju dengan projek lain yang lebih awal.

“Memang agak terkilan tapi apa boleh buat. Peluang seperti itu bukan selalu datang, tapi kalau sudah jadi seperti ini, apa yang saya boleh lakukan? Mungkin rezeki di tempat lain,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kebanyakan rakan seangkatan seperti Haqiem Rusli, Khai Bahar dan Wany Hasrita yang dilihat lebih menonjol termasuk layak ke Anugerah Juara Lagu, Tajul berkata, itu adalah rezeki masing-masing.

“Saya mahu lengkapkan diri dengan pengalaman dan mantapkan vokal. Mungkin banyak lagi kena baiki dan pelajari. Lagipun, lagu saya tidaklah sekuat lagu mereka.

“Saya ada meminta FMC keluarkan lagu yang kuat dan mencabar vokal pada masa depan supaya dapat berada di pentas sama satu masa nanti,” katanya.

Katanya, situasi kini dianggap sebagai persaingan sihat dalam kalangan penyanyi ‘Budak-Budak Baru Nak Up’ atau BBNU sepertinya.

“Saya lihat terlalu ramai penyanyi baru sehingga saya sendiri tidak sempat kenal. Mungkin sebab itu lagu saya juga agak perlahan berbanding lagu penyanyi lain,” katanya.

Setakat ini, video muzik lagu Melamar Rindu yang baru diterbitkan beberapa bulan sudah mencapai lima juta tontonan di YouTube.

Terpaksa jauhkan diri daripada Wany Hasrita

Diam tak diam, Tajul akan muncul dengan album mini mengandungi enam lagu pada Mac ini.

Apa yang menarik, salah satu lagu diberi judul Hasrita, nama yang cukup popular dan sering dikaitkan dengan Tajul iaitu Wany Hasrita.

“Apabila keluar single itu nanti, saya tidak tahu nak lari ke mana dah! Sebenarnya, saya ikutkan sahaja permintaan FMC (syarikat rakaman).

“Kalau orang tanya pasal kami, saya ‘no comment’ kerana kami memang sekadar berkawan. Memang tiada kemesraan antara kami,” katanya.

Dalam nada bergurau, dia berasakan teman duetnya itu sedang rapat dengan Khai Bahar.

Tajul akui terpaksa menjarakkan diri daripada Wany kerana sering dikecam netizen dan peminat.

Katanya, keadaan memaksa dia tidak rapat dengan Wany seperti dulu kerana ramai netizen mengecam mereka sudah seperti suami isteri kerana terlalu rapat.

“Ada yang sampai membenci dan perkara itu tidak sedap didengar. Jadi, saya ambil keputusan menjarakkan diri. Apabila keluar single Hasrita nanti, pasti akan lebih dikecam,” katanya sudah bersedia dengan segala tohmahan nanti.

Tajul berkata, tiga lagu baru yang akan dimuatkan dalam album itu ialah Hasrita, Rindu Dalam Benci berduet dengan Wany Hasrita dan Kembalilah Rindu.

Selebihnya adalah lagu yang sudah pun diterbitkan sebelum ini iaitu Melamar Rindu, Di Sana Cinta Di Sini Rindu (duet bersama Wany Hasrita) dan Sedalam Dalam Rindu.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 3:17am
d