utama

Gambar guru bawa padah

Oleh Recqueal Raimi

TINDAKAN guru lelaki memuat naik gambarnya memegang senapang angin dipercayai digunakan untuk menembak burung melalui Facebook, mengundang padah apabila dia ditahan di Kota Belud, hari ini.

Guru berusia 33 tahun itu ditahan berhampiran rumahnya di kampung di daerah ini pada 1.10 pagi selepas gambar dimuat naiknya mendapat perhatian ramai.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, dalam serbuan itu, polis merampas senapang angin warna hitam dan set kelopak mangandungi peluru 'pellet', selain set kelopak kosong,tiub minyak gris serta beg senjata bercorak celoreng.

"Ketika operasi, suspek ditemui dalam semak bersebelahan pokok pisang berhampiran rumahnya sebelum menunjukkan satu karung guni menempatkan senjata disimpan.

"Hasil soal siasat, suspek membeli senjata itu secara dalam talian dari China sebelum memasangnya sendiri berdasarkan buku panduan," katanya kepada media di Kota Belud, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, suspek yang mengajar di sekolah menengah dikatakan pernah menembak burung di Kampung Tempasuk, Kota Belud.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 iaitu memiliki senjata tanpa lesen yang sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 1:09pm
d