utama

Agih BR1M Isnin ini

Oleh Nik Sukry Ramli

PROSES pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan jumlah peruntukan kira-kira RM6.3 bilion kepada tujuh juta penerima di seluruh negara, akan bermula Isnin ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, pengagihan BR1M itu akan dilakukan secara tiga peringkat.

Beliau berkata, majlis pelancaran fasa pertama BR1M akan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Pekan, esok dan penerima lain boleh mula menyemak akaun bank masing-masing pada Isnin.

"Pengagihan akan diteruskan seperti sebelum ini, iaitu mereka yang layak akan menerima bantuan dalam tiga peringkat... maknanya, jika mereka layak menerima RM1,200, kita agihkan RM400 dahulu dan bakinya akan dimasukkan ke akaun mereka untuk fasa kedua dan ketiga," katanya kepada media selepas menghadiri majlis Pelancaran BAHTERA Edisi Timur 2018 di Dewan Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, dekat Kuantan, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Terdapat 101 gerai pameran membabitkan usahawan Bumiputera disediakan untuk pengunjung pameran selama dua hari itu.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyatan ahli politik pembangkang, Rafizi Ramli yang mendakwa tindakan kerajaan meneruskan pemberian BR1M adalah untuk tujuan kewujudan politik, Irwan Siregar berkata, tuduhan itu tidak betul kerana tujuan utama kerajaan memperkenalkan BR1M adalah untuk membantu meringankan bebanan rakyat.

"Saya fikir, kita tidak payahlah dengar apa yang dia (Rafizi) kata... kalau nak kira, semua yang kita (kerajaan) buat, tak kena di mata mereka (pembangkang). Kita kena ingat bahawa bantuan ini (BR1M) diiktiraf oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)... ini bermakna, apa yang kerajaan buat adalah langkah tepat.

"Kerajaan juga sedang mencari kaedah lebih baik untuk membantu mereka yang menerima bantuan (BR1M) ini... kalau boleh, penerima BR1M ini mengikuti latihan kemahiran tertentu bagi meningkatkan pendapatan mereka," katanya.

Irwan Siregar berkata, perkembangan ekonomi negara juga terus kekal kompetatif dan tohmahan pembangkang kononnya kerajaan bakal bangkrap juga tidak ada asas.

Katanya, ekonomi negara berkembang pada kadar 5.9 peratus tahun lalu dan semua sektor seperti perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan juga berkembang antara 6 peratus hingga 6.7 peratus.

"Defisit fiskal juga menunjukkan penurunan sehingga 3.0 peratus dan ini adalah bukti pengurusan kewangan dan ekonomi yang cekap oleh kerajaan," katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 2:33pm
d