utama

Mahu jaga kualiti

Oleh Najiy Jefri

Pelakon Saharul Ridzwan mengakui pernah melakukan kesilapan besar ketika merencana kanvas seninya sehingga namanya kian ‘suram’ meskipun sebelum itu dia popular menerusi drama Hati Perempuan.

Walaupun kehadirannya tidak serancak dulu, Saharul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim tetap optimis dan tampil dengan strategi baru bagi mempertahankan kedudukannya.

“Untuk kekal relevan setiap pelakon perlu memilih skrip dan drama. Satu kesilapan apabila nama berada di puncak, saya main ambil saja setiap tawaran berlakon kerana permintaan yang tinggi, selain dihujani tawaran menjadi duta.

“Kini saya sedar jika tidak mengehadkan tawaran dan tidak menjaga kualiti, momentum akan merudum jatuh.

“Kini saya memilih cerita yang bagus dan watak yang menguji kemampuan. Lagipun, sampai bila saya mahu berada di takuk lama,” katanya.

Ditanya adakah perkahwinan menjadi faktor utama bintangnya kian pudar, Saharul menafikannya.

Kata Saharul, dia tidak pernah menganggap perkahwinan akan menyebabkan ‘saham’ seseorang jatuh kerana dia percaya semuanya berbalik kepada rezeki dan kitaran dunia seni.

“Tiada istilah saham jatuh selepas bergelar suami dan bapa. Saya anggap ini perkara biasa bagi pelakon apabila adanya pendatang baru.

“Saya pernah mengecap populariti dan berada di puncak, namun kedudukan itu tidak akan bertahan lama sekiranya tidak pandai mengatur strategi.

“Disebabkan itu, saya selalu merujuk pelakon senior cara mahu kekal konsisten dalam industri.

“Bagi saya, jika sekadar popular tetapi tiada duit untuk meneruskan kelangsungan hidup, itu belum boleh dianggap berjaya.

“Fokus saya sekarang adalah mahu mencari rezeki dan memilih naskhah mencabar.

“Ramai ingat saya tiada tawaran berlakon, hakikatnya masih ada cuma tidaklah selebat dulu. Ini kerana saya perlu membahagikan masa antara kerja dan keluarga,” katanya.

Meskipun masih aktif berlakon, dia sentiasa mengingatkan diri sudah mempunyai isteri dan anak bernama Muhammad Luth Ali .

Saharul memberitahu, ketika bekerja di luar kawasan, dia pernah terlepas detik indah Ali belajar meniarap.

Disebabkan itu, dia enggan terlepas lagi detik indah selama Ali sedang membesar.

“Keutamaan saya sudah tentulah isteri dan anak tetapi sebagai ketua keluarga, saya perlu cari nafkah untuk kelangsungan hidup kami.

“Bagi saya, segalanya perlu seimbang dan diatur dengan baik, sama ada kerjaya mahupun peribadi. Jika segalanya terurus, Insya-Allah akan okay,” katanya yang bahagia di sisi isteri tercinta Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir, 29.

Disiarkan pada: February 25, 2018 @ 4:08am
d