utama

Azmee sudah dijumpai...

Oleh Mohamed Farid Noh

PEGAWAI Mahkamah Syariah Kuala Lumpur yang hilang sejak 12 Februari lalu, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan rumah neneknya di Kampung Bintang, Peserai, Batu Pahat, hari ini.

Dalam kejadian 4 petang, lelaki itu Azmee Elias, 36, yang juga Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Mahkamah Syariah Jalan Duta ditemui bapa saudaranya.

Difahamkan, penemuan lelaki itu kira-kira 236 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat iaitu di tempatnya bekerja.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan sedang dirawat di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan.

Katanya, isteri mangsa Natasha Abd Rahim, 30, memaklumkan polis berhubung penemuan mangsa oleh bapa saudaranya sebelum dihantar ke HSNI untuk rawatan.

"Ketika dijumpai, mangsa dalam keadaan terlentang di hadapan pintu rumah neneknya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Saya mengesahkan mangsa kini sedang dirawat dan dikawal ketat di HSNI.

"Pegawai penyiasat dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya sedang dalam perjalanan ke Batu Pahat untuk siasatan lanjut, " katanya.

Kehilangan Azmee selama 13 hari itu sebelum ini mencetuskan misteri apabila polis tidak menemui petunjuk baru mengenai kehilangannya.

Pada 17 Februari lalu, polis menemui Perodua Alza milik mangsa yang ditinggalkan dalam keadaan berkunci di Jalan Jenderam sebelum dibawa ke IPD Putrajaya.

Selain itu, usaha pencarian mangsa turut diperluaskan sekitar 100 kilometer (km) dari kawasan itu.

Mangsa kali terakhir dilihat di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 12 Februari lalu dengan berpakaian pejabat berwarna gelap dan berseluar kelabu, selain berkaca mata.

Berita berkaitan

[UPDATE] Belum jumpa petunjuk baru

Polis perluas kawasan carian

Misteri Azmee `Ghaib'

Disiarkan pada: February 25, 2018 @ 8:33pm
d