utama

Nadia utama kesihatan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Gaya hidup sihat adalah cara terbaik bagi memastikan tubuh sentiasa bertenaga untuk bekerja. Kata-kata itulah yang sentiasa dipegang penyampai Era FM yang juga penyanyi Nadia Hasnan.

Baginya, penjagaan kesihatan antara cara terbaik untuknya menghargai anugerah Tuhan di samping memastikan kudratnya kuat untuk melakukan kerja harian.

“Banyak kebaikan sekiranya kita jaga kesihatan. Dari segi stamina, kita akan lebih bertenaga.

“Semakin meningkat usia, saya sedar betapa pentingnya penjagaan kesihatan,” katanya.

Nadia juga kerap berkongsi rutin harian membabitkan gaya hidup sihat di Instagram miliknya.

“Ini antara cara saya mengajak orang ramai sama-sama menikmati gaya hidup sihat.

“Macam-macam aktiviti kita boleh buat agar sentiasa aktif dan cergas,” katanya.

Kata Nadia, 28, apa yang diamalkan itu juga sebahagian daripada persiapan menjalani penggambaran program travelog 3 Ke 5 Je.

“Meski nampak muda hakikatnya, program ini sangat mencabar.

“Jadi, bagi memastikan saya mampu bergerak ke beberapa lokasi sepanjang penggambaran, kenalah sentiasa cergas,” katanya.

Menurut Nadia, banyak perkara baru dipelajarinya sepanjang mengacarakan program itu.

“Sudah masuk dua musim. Penggambaran bermula minggu lalu dan apa yang boleh saya katakan, banyak ilmu yang saya dapat. Saya juga dapat mengenali tempat-tempat menarik di Malaysia dengan lebih mendalam,” katanya.

Sedar tak sedar, tahun ini sudah 10 tahun Nadia berada dalam industri. Mengakui masih dalam proses belajar, Nadia berkata, dia banyak menimba ilmu daripada persekitaran dan orang sekeliling.

“Sepanjang tempoh ini, macam-macam orang saya dah jumpa. Daripada situ, saya belajar banyak benda termasuk bagaimana mahu menjaga hubungan sesama manusia,” katanya.

Bertugas sebagai penyampai hujung minggu Era FM juga banyak mendidiknya selok-belok dunia penyiaran.

“Menerusi ilmu yang diterima, saya cuba kembangkan potensi diri dan perbaiki apa yang kurang.

“Dalam hidup ini proses pembelajaran tak akan tamat,” katanya.

Bercerita serba sedikit mengenai kisah peribadinya, ini adalah tahun kedua dia bergelar isteri kepada Hafiz Hamdan.

Meski ramai bertanya soal zuriat, dia dan suami tercinta tidak pernah rasa tertekan.

“Ada yang bertanya dan ada juga masih tak tahu saya sudah berkahwin. Kami serahkan soal anak kepada Allah SWT.

“Buat masa ini, saya dan suami belum bersedia namun kalau ada rezeki, kami terima dengan hati terbuka,” katanya.

Disiarkan pada: February 26, 2018 @ 9:18am
d